Pengikut

Halaman

Jumaat, 2 Mei 2014

Tuliskan sahaja


Keinginan menulis itu ada, apakan nasib, selalu kau katakan diri tiada daya. Walau hanya perlu menggerak jari cuma, namun gerakan kecil ini tetap memerlukan sebuah daya. Bukan kekuatan, sebaliknya daya akal fikiran. Betapa telah dihadapkan seluruh jasad menghadap jalan usaha. Sorotan mata tertumpu ke skrin kaca, namun jari-jemari ini tidak tahu jua menari. Tiada rentak irama yang membawa mereka. Dunia dalaman empunya jari itu suram. Tiada fantasi. Kurang imaginasi. Jari juga menjadi longlai kebosanan. Segalanya kusam.

Bukan begini. Kala kau punya semangat ingin menulis, tuliskan sahaja. Jangan menunggu sesuatu yang kau tidak pasti apakah ia. Kau kata, kau menunggu idea, namun jelas sekali kata hati kau bersuara bahawa kau inginkan ‘sempurna’. Ya. Kau menunggu hadirnya gaya penulisan yang sempurna. Ini sungguh sebuah perlakuan yang membazir waktu. Kau tidak akan dapat bermula dengan baik pastinya, kau hanya perlu bermula sahaja dengan apa yang ada. Sempurna akan datang, tetapi bukan sekarang. Dia akan datang ketika kau sudah sedia menerima kedatangannya. Kau hanya perlukan teruskan menulis, berjalan meniti pengalaman untuk bertemu dengannya.

Tuliskan sahaja, segala rasa, derita bahagia yang kau alami. Jangan begitu asyik mengatur kecantikan bahasa, lenggokan semua, nanti kau akan tidak mampu habiskan penulisan, kemudian berhenti berputus asa. Tidak perlu fikirkan banyak perkara, biar tarian jari-jemari kau menari mengikut rentak rasa dan mengalun dengan kejernihan jiwa. Kau hanya perlu mengalirkan perasaan dalam penulisan. Jangan fikirkan terlalu banyak isinya, fikirkan kepuasan dan emosi yang hendak kau sampaikan. Kepuasan dan emosi itu juga ada makna buat pembaca.  


Percayalah, bahawa yang kau perlukan sekarang adalah terus mencuba, berjaya atau tidak, biar waktu yang menentukannya. Kerana tanpa ‘ terus mencuba’, lagi kau tidak akan dapat kecap apa-apa kecuali kecewa yang kau ciptakan sendiri dengan tidak berbuat apa-apa. Teruskan mencuba, biar hari ini setumpul belakang pisau, kemudian hari, menjadi peluru tajam yang dapat menembak seluruh pemikiran manusia.  Tidak perlu panjang berjela untuk permulaannya. Cukup satu dua perenggan, itu sudah memadai. Tiada manusia yang lahir mampu terus berlari. Yang penting, kau tiada berhenti. Kalau tidak, pada tahap ‘merangkak’ lah kau selamanya. 

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"