Pengikut

Halaman

Sabtu, 3 Mei 2014

Pembelajaran Anak-anak

Ketika dahulu, dalam waktu-waktu diri ini baru ingin mula membesar, adakala aku mudah memperlekehkan orang lain. Rasa besar dengan kelebihan yang ada.

Pernah suatu ketika aku bersembang dengan abah, bercerita tentang perihal yang berlaku di sekolah dan di dalam kelas, aku kekadang mudah mengata buruk tentang keadaan rakan-rakan sekelas aku yang 'bodoh'.

Zaman sekolah rendah adalah zaman keemasan dalam hidup aku. Selalu keputusan peperiksaan dapat tempat kedua dalam kelas. Yang nombor pertama itu perempuan, sekarang dia belajar di UM. Bila rasa pandai ini, mereka yang tidak setara dengan kita akan mudah sahaja dianggap bodoh. Begitulah.

Apabila abah mendengar butir bicara aku memperlekehkan rakan lain yang kurang pandai itu, dia tahu anaknya salah dan abah cuba menegur. Abah memberitahu bahawa aku tidak boleh memperkatakan hal sebegitu rupa. Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Mungkin dia tidak kelihatan bijak di dalam kelas dan pembelajaran, tetapi kita tidak tahu mungkin dia ada kelebihan lain yang kita belum nampak.

Mendengar teguran tulus abah, aku terdiam dan mula muhasabah. Itu antara ajaran yang berharga aku terima ketika umur aku 12 tahun. Sampai hari ini masih aku ingat dan tersemat di hati.

Bila aku fikirkan kembali, aku rasa mesti jiwa rakan yang aku perlekehkan itu sangat tertekan waktu itu, meskipun aku lihat dia sering tersengih dalam kelas tatkala tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan guru. Entah. Tetapi kekadang aku fikir dia sendiri berasa belajar itu bukan satu keperluan dan tidak penting. Jadi dia malas belajar. Tetapi erlu ditanya juga mengapa dia rasa belajar itu tidak penting?

Daripada sisi aku, kalau aku duduk di tempat dia, pasti aku menjadi orang yang sangat cemburu. Apabila rakan-rakan lain lebih mendapat perhatian daripada kita, apabila rakan-rakan lain lebih mendapat pujian daripada kita, pasti kita cemburu. Kita juga ingin perhatian yang sama. Tetapi disebabkan kita 'bodoh', semua itu tampak mustahil. Maka kita tunduk terhadap keadaan diri kita. Untuk belajar pun rasa sudah tidak berguna lagi kerana kita memang dilahirkan 'bodoh'.

Pernah tidak kita fikirkan hal sebegini. Sebenarnya bukan anak-anak yang bodoh, tetapi suasana pembelajaran yang kurang pengaruh positif yang membuatkan anak-anak berasa dia memang bodoh. Serasa bodoh selamanya.

Hal sebegini masih berlaku lagi sekarang ini. Anak-anak yang kurang minat belajar kekadang kerana mereka berasa mereka memang bodoh dan tidak perlu belajar. Kekadang pula mereka memang semangat ingin belajar, tetapi bila melihat rakan lain cepat sahaja mendahului mereka dan dipuji, mereka rasa tertekan dan cemburu hingga membuatkan semangat mereka yang tadi itu hilang.

Ini masalah. Apatah lagi anak-anak diajak untuk bersaing sesama sendiri, bukan saling membantu dan bekerjasama. Sepatutnya suasana pembelajaran harus bermotifkan kemasyarakatan, bukan 'permusuhan'. Meskipun bersaing itu ada baiknya, tetapi harus dibentuk dalam kondisi yang sihat, bukan saling menindas. Agar setiap murid dan pelajar dapat manfaat daripada persaingan tersebut.

Anak-anak juga harus diterapkan rasa untuk mempercayai keistimewaan diri yang berbeza dengan rakan yang lain. Sikap ini harus dipupuk daripada kecil agar mereka tidak mudah berkecil hati dengan kelebihan yang terdapat dalam diri rakan lain. Mereka juga perlu tahu kesetaraan darjat mereka di sisi Allah, yang membezakan mereka hanya iman dan taqwa. Agar setiap perilaku dan tindakan semata dilakukan kerana Allah, tiada iri hati atau cemburu.

Dalam keadaan begini, barulah waktu pembelajaran dan pengajaran dapat berlaku dalam keadaan yang sihat dan baik. Semua sedar akan tanggungjawab masing-masing, bukan hanya mementingkan kebahagiaan diri semata. Anak-anak mesti diajar untuk memberi. Dengan itu barulah akan lahir Khalifah-Khalifah kecil yang berjaya.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"