Pengikut

Halaman

Khamis, 24 April 2014

Tangisan dan rindu


Sebuah tangisan hari ini, begitu mahal buat lelaki. Untuk melihat seseorang Adam mengalirkan air mata, menangisi sesuatu kekhilafan, adalah suatu hal yang sukar. Sangat sukar. Kita boleh katakan kerana lelaki ini mempunyai hati yang kental, oleh itu jarang untuk mereka menitis air mata, namun kita merisaukan juga kemungkinan bahawa ini adalah kerana hati lelaki kala ini merupakan hati yang keras. Antara kental dan keras, adalah seperti perbezaan antara tawaduk dan takbur(ego).

Sekental-kental hati manusia seperti sang nabi mulia pun memerlukan tangisan bagi meraih kekuatan, namun tangisnya jarang ditunjuk, hanya menjadi rahsia antara hamba dan Tuhan, tetapi sekeras-keras hati seperti sang Iblis yang terlaknat takkan pernah menangisi khilafnya kerana ingin menunjukkan bahawa dia kuat. Begitulah. Begitulah jarak antara kental dan keras, antara tawaduk dan takbur. Kental itu kerana tunduk dan menerima. Keras itu kerana meninggi diri dan membantah

Jujurnya, aku rindukan sebuah tangisan yang mengalir kerana keinsafan dan mengalir kerana keimanan. Bagi aku sebuah tangisan itu mampu melahirkan satu rasa kelegaan, juga dapat mencetuskan rasa ketenangan. Dengan tangisan, aku rasa bebas, kerana tangisan adalah sebuah pengakuan dan penyerahan. Pengakuan bahawa aku hanyalah hamba-Nya yang lemah, yang tiada daya upaya melainkan dengan kekuasaan dan rahmat-Nya. Daripada sebuah pengakuan, maka terbitlah penyerahan kepada takdir dan rencana-Nya. Maka, dengan itu bebaslah manusia daripada rasa beban yang tidak tertanggung kerana Tuhan sudah ada bersamanya.

Hurm. Andai sahaja aku seorang perempuan, mungkin lebih mudah untuk aku menngis dan mendapatkan semua ini. Aku sangat rindu perasaan ketika menangis.

Sebenarnya aku buntu, bagaimana cara untuk menjalani hidup ini. Kalau boleh aku menginginkan seseorang yang mampu menunjukkan aku di mana arah dan jalan, di mana tempat yang perlu aku tuju, apa yang perlu aku lakukan, menunjukkan mana salah dan silap aku, menunjukkan aku hikmah yang tersembunyi dalam setiap kejadian. Aku menginginkan pembimbing. Entah. Mungkin ini jiwa yang gelisah merindukan akan hadirnya sang nabi mulia ke dunia ini. Agar nanti dapat diberi cerah dan terang terhadap dunia yang hari ini begitu keliru dan kabur.

Oh Tuhan, leraikan kami daripada segala fitnah. Leraikan. Leraikanlah Ya Allah. Dunia ini terlalu 'menawan' di mata hamba yang jahil ini, hingga kami sungguh mudah tertawan. Sedangkan Syurga-Mu itu lebih menawan, namun tiada daya untuk kami menawan. Melainkan semua itu dengan rahmat-Mu

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"