Pengikut

Halaman

Khamis, 29 Mei 2014

Melawan doktrin


Merengkuh jalan hidup ini, tiada apa yang dapat kita rungkai dengan pasti kecuali satu, ia adalah sebuah pengembaraan yang kabur, tiada yang jelas.

Lalu persoalan yang terlontar, bagaimana kita dapat menempuhnya? Dengan satu perkara, kepercayaan.

Tanpa kita tahu, selain usaha, sebenarnya kita hidup berbekalkan 'percaya'.

Kebanyakan kita memilih sesuatu jalan bukan kerana kita 'pasti', tetapi kerana itu jalan yang dilalui ramai orang, dan ramai orang itu rata-rata keluar dengan selamat. Lalu kita percaya kita perlu lalui jalan yang sama untuk selamat kerana jalan itu sudah terbukti.

Namun kepercayaan begini banyak menyekat potensi manusia untuk membuat sesuatu yang lebih atau sesuatu yang yang patut menjadi peranannya. Kita takut untuk keluar daripada jalan tersebut kerana jarang sekali ada yang melakukannya. Kita takut untuk mencuba jalan lain kerana jalan itu tiada kepastian(?) dan tiada jaminan(baca : yang sebenarnya tidak ramai yang pilih).

Maka kita dapat melihat bagaimana manusia tidak mampu maju kerana takut mendepani sesuatu yang baru dan sesuatu yang tidak biasa. Setiap hari sama, tiada perubahan. Dan daripada sini aku boleh kata, proses doktrin sudah berjaya, manusia sudah diatur(dikawal) baik oleh sistem tanpa ada yang membantah dan mempersoalkannya. Masyarakat sudah berjaya dipujuk untuk mempercayai sesuatu yang tidak munasabah untuk mereka percaya.

Mahasiswa tidak mampu bersuara menyatakan hak, tiada tekad membantah kerana memikirkan takut dibuang dan digantung, memikirkan duit elaun, memikirkan masa depan yang akan dihadap andai tiada sijil universiti. Nampak tidak doktrin di situ, "Masa depan yang cerah memerlukan sijil." Mahasiwa berjaya dikawal pergerakan mereka dan suara mereka hanya dengan sijil, sehingga mahasiswa sudah tidak yakin dengan ilmu yang mereka ada bagi menentukan masa depan hidup. Fuh!

Begitu juga aku sangat kecewa kesimpulan simplistik yang telah menjadi persepsi umum masyarakat bahawa apabila anak-anak tiada SPM, maka mereka tidak ada masa depan atau masa depan mereka gelap. Sangat mudah untuk meletakkan kesimpulan begitu. Tidak bolehkah kita mencuba untuk meluaskan pandangan dan jiwa kita? Adakah segala kerja di Malaysia ini perlukan SPM? Tidak! Walaupun tidak dinafikan kebanyakan pekerjaan memerlukan SPM(dan ini memang sistem yang menindas sedangkan bidang yang kita belajar dalam SPM tidak diperlukan pun untuk melengkapi pekerjaan tersebut), namun yang lebih diperlukan adalah ilmu, apa sahaja ilmu itu dapat dikembangkan hingga mampu mencipta peluang pekerjaan.

Namun bagaimana pula persepsi kita terhadap ilmu? Kita hari ini melihat ilmu sebagai komoditi untuk memenangi pasaran kerja sahaja. Ini masalah. Darjat ilmu telah diturunkan sebegitu rendah.

Apa terjadi pula kepada para agamawan keluaran universiti-universiti Timur Tengah? Apakah persepsi mereka terhadap ilmu mereka juga begitu? Sanggupkah mereka mengembalikan ilmu kepada masyarakat secara tulus, yang ilmu itu dituntut dan diambil berbekalkan duit biasiswa(cukai rakyat)?

Jarang.

Melalui apa yang akan agamawan ini ajarkan kepada masyarakat, mereka akan menantikan pulangan wang kembali. Pastilah, dia hanya ada ilmu agama, harus dengan apa lagi dia dapat sara hidup diri dan tanggungan kecuali dengan ilmu agama itulah. Nampak tidak doktrin disitu, "Kerjaya ditentukan oleh bidang apa yang kita belajar, termasuk agama!" Dan ini menyebabkan agama hilang fungsi utama ; yakni mendidik dan membebaskan manusia.

Bagaimana fungsi itu hilang?

Apabila agama itu akhirnya dapat dilihat pergerakannya sebatas ceramah, forum, mengfatwakan halal haram, menguruskan sesuatu tempat dan institusi dengan menjadi pengarah atau pegawai, menjadi imam dan bilal di masjid serta pelbagai. Di mana semua ini adalah kerja yang dapat pulangan wang. Tempat agamawan ini cari makan dan sara diri, bukan tempat untuk benar-benar menegakkan fungsi agama. Kepentingan agama diusahakan ala kadar sahaja, selebihnya keselesaan diri.

Agama hanya akan terlihat kefungsiannya apabila didapati agamawan ini sanggup turun melihat keadaan masyarakat, memikirkan cara bagaimana ingin melepaskan mereka daripada belenggu kemiskinan, kemelaratan dan sistem yang menindas. Apabila agamawan memberi tugas kepada diri sendiri untuk menyelami bidang ilmu yang selain agama untuk membantu membangunkan keadaan ummah yang mundur. Tidaklah ucapan agamawan kita sebatas halal dan haram sahaja, tetapi lebih kritis pemikirannya.

Kita menantikan fatwa, "Lebih afdhal dan wajib untuk masyarakat membantu orang miskin di perkampungan dan di penempatan mereka daripada mengadakan ceramah besar di masjid sehingga menelan belanja beribu-ribu ringgit!" Kita juga menantikan agamawan menyebut, "Menjadi fardhu kifayah yang sangat dituntut hari ini kepada sekalian kaum muslimin mempelajari ilmu ekonomi/falsafah/pelbagai dengan melihat keadaan yang kita hadapi sekarang."

Namun hal ini jarang berlaku. Sangat jarang. Sebahagian agamawan sahaja yang bersuara. Yang lain hanya bersuara apabila timbul isu-isu yang memerlukan mereka bersuara. Agamawan kita tidak produktif, tidak mampu menjadi intelektual kepada masyarakat, tidak mampu menjadi pembela mereka yang dizalimi. Agamawan kita sangat pasif! Ini kerana agamawan sudah terdoktrin dan dikawal oleh sistem yang merosakkan kefungsian agama itu sendiri. Ilmu agama juga sudah menjadi komoditi untuk memenangi pasaran kerja. Lalu mereka mengejar ilmu hanya untuk selamat(survive) di masa hadapan. Ini masalah!

Semua ini berpunca daripada bentuk awal pendidikan kita, daripada kecil diajar untuk mencari senang, jangan mencari susah. Adapun diajar bersusah payah itu untuk senang di masa hadapan, tidak pernah pula diajar bersusah payah untuk berjuang. Anak-anak diajar bersusah payah belajar agar nanti ada masa depan, tidak pula diajar bersusah payah belajar agar dapat dikenal mana hak dan mana batil lalu memperjuangkannya. Bukankah perjuangkan hak itu tujuan belajar, tujuan ilmu?

Tetapi akibat sistem dan aturan sudah tersedia, kita takut untuk memilih jalan selain sistem tersebut. Kita rasa tidak selamat. Mahasiswa kita tidak berani berjuang, mahupun agamawan kita menjadi begitu pasif pabila dibanding dengan tempat lain. Dan kita tidak berani memilih jalan yang tidak biasa, dengan alasan, ini jalan yang 'tidak pasti'. Kata mereka, "Sudah ada jalan tersedia, jalan yang pasti(walhal jalan yng ramai orang pilih), ikut sahajalah." Itu bukan jalan yang pasti, itu hanya jalan yang kita diajar untuk percaya melalui proses doktrin yang dunia buat. Mereka berjaya cipta ilusi untuk kita hingga kita terpedaya dan hilang daya juang. Kita berjaya ditakutkan!

Sedangkan aku percaya, kita mempunyai pelbagai jalan untuk mencipta masa depan yang baik, sama ada ingin percaya atau tidak, itu sahaja. Dan aku sedang menguji diri aku dengan hal itu. Aku ingin melawan doktrin. Mungkin hari ini jalan aku salah, tetapi aku tetap mempunyai pelbagai lagi pilihan untuk aku cuba. Asalkan aku dapat menghindarkan diri daripada kesibukan yang sia-sia. Dan aku berharap aku tidak menyesal.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"