Pengikut

Halaman

Khamis, 26 Jun 2014

Mengenal dunia, mengenal bahagia

Suatu hal yang mudah membuatkan kita bersedih adalah kita sering sangat mengimpikan sebuah dunia ataupun sebuah kehidupan yang penuh kemilau bahagia. Tiada kesakitan, tiada penderitaan. Segalanya damai dan tenteram. Di mana seluruh manusianya bersikap penuh ramah dan mesra, tanpa benci dan dengki, sesama mereka saling berkasih sayang. Bagi aku, ini bukan impian, tetapi khayalan. Khayalan yang membuatkan manusia berkali-kali tertipu dan terus berdukacita. Khayalan yang lahir akibat ketidaktahuan dirinya akan bagaimana realiti dunia ini.

Mengharapkan dunia mahupun kehidupan sentiasa bersikap baik terhadap diri, hanyalah seperti mengharapkan air di lautan itu tenang tiada gelora dan ombak. Kau tidak boleh meminta ombak di lautan itu tenang untuk kau berenang, tetapi kau sendiri yang perlu belajar bagaimana untuk menangani ombak itu. Kita selalu mengharapkan dunia berubah untuk kita, sedangkan dunia itu mandiri, tidak mudah tunduk pada kehendak dan cita-cita sesiapa.

Perlu kita tahu bahawa tiada hal yang 'sentiasa' bagi dunia melainkan satu, yakni perubahan. Dunia ini akan terus bergerak dan berputar tanpa peduli apa-apa. Tanpa endah kau sedang derita kelaparan ataupun kau hidup dalam kesusahan. Dia hanya bekerja seperti yang seharusnya dia bekerja. Dunia tidak akan menunggu. Dan dia sentiasa berubah dan bekerja dalam rutin yang sama, mungkin keadaan sahaja berbeza.

Justeru, jika dalam mengejar impian yang diinginkan, kita gagal, kita tidak harus bersedih dan mengalah. Tatkala hari ini kita ingin menawan gunung dan mencuba mendakinya dengan sepenuh upaya namun apabila sampai dipertengahan, kita kelelahan dan terpaksa berhenti. Tidak mengapa, berhenti dan pulanglah ke rumah, tetapi kita hanya berhenti untuk hari ini. Esok lusa mahupun tahun depan kita masih boleh datang kembali dan terus mencuba kerana dalam setiap cubaan itu adalah pembelajaran. Dengan cubaan berkali-kali, mungkin sesebuah gunung itu baru mampu ditawan.

Tiada hal hidup yang dapat ditangani dengan sekelip mata. Mungkin ada yang dapat menawan gunung dengan sekali cubaan, tetapi tetap mereka memerlukan waktu yang lama untuk mengkaji dan belajar segala cabaran yang akan mereka hadapi diatas sana. Samalah dalam kehidupan. Kalau kita ingin betul-betul mengecap puncak bahagia, kita harus tidak mudah bersedih dengan keadaan dunia yang seringkali menentang diri. Tetapi kita harus belajar kelemahan apa yang ada pada diri hingga dunia mampu mengalahkan kita. Semakin kita belajar, semakin kita menjadi kuat. Setiap pengunduran adalah kerehatan, bukan putus asa.

Cuma dalam mengimpikan puncak kebahagiaan itu dapat dikecap, adalah salah untuk tidak mengetahui bahawa kesakitan akan terus wujud meskipun kita sudah mencapainya. Adalah salah menyangkakan setelah mencapai kebahagiaan, derita akan terus terhapus. Hal-hal begini yang membuatkan kita terus tertipu dan berdukacita. Kerana apabila wujud kebahagian adalah wajib untuk penderitaan wujud sekali bersamanya. Peribahasa, "Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian." tidaklah dapat diterima sepenuhnya. Kerana senang dan susah, bahagia dan derita itu seiring.

Mengapa seiring? Kerana kehidupan itu adalah sebuah jalan di mana penghujung dan destinasinya hanyalah mati. Dan dalam jalan kehidupan yang setiap manusia lalui itu, kedua-dua senang susah, bahagia derita silih berganti. Kedua-duanya akan datang dan kedua-duanya juga akan pergi. Kedua-duanya akan ditempuh dan kedua-duanya akan dilepasi. Jadi apa ertinya hidup ini? Apa ertinya bahagia jika suatu hari ia tetap akan hilang? Semuanya adalah ujian. Menguji manusia sejauh mana kita mampu bersangka baik pada Tuhan. Menguji manusia sejauh mana cinta dia terhadap saudaranya.

Lagipun sebenarnya, dunia tidak mampu beri kita bahagia. Bahagia itu datang daripada dalam diri. Datang daripada bagaimana persepsi kita terhadap sekalian kejadian dan peristiwa yang menimpa. Kerana itu, berbanding hidup mencari bahagia, adalah lebih baik kita belajar bagaimana untuk hidup dengan bahagia.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"