Pengikut

Halaman

Khamis, 15 Mei 2014

Aku dan Agama


Kesia-siaan. Aku tidak nampak apa-apa melainkan kesia-siaan. Aku mengakui ini sebuah persepsi yang buruk, namun aku hanya ingin menyatakan kejujuran rasa. Bukan tiada pernah aku fikirkan, jenuh payah telah aku perah fikiran, tiada aku jumpa rasional perbuatan ini. Mungkin aku jahil. Ya aku jahil tetapi tiada siapa yang mengajari aku. Aku tidak tahu tujuannya. Apa erti aku menghafaz al-Quran sebenarnya?

Aku tidak tahu bagaimana persepsi begini boleh lahir daripada dalam diri aku. Mungkin kerana aku kecewa. Kecewa dengan para pembawa al-Quran(hamalatul quran) hari ini, mereka langsung tidak dapat menonjolkan ciri-ciri peribadi al-Quran yang harus mereka dimiliki. Atau kecewa kerana walaupun mereka baik secara peribadi, tetapi dalam hidup bermasyarakat golongan ini tidak banyak mengambil kedudukan dan berperanan. Mungkin juga sebenarnya aku kecewa dengan diri aku sendiri. Kecewa kerana tidak dapat menghafaz al-Quran itu sendiri dengan baik lalu menyalahkan faktor luar bagi membela diri. Aku tidak pasti.

Tetapi itu adalah peribadi aku sendiri, tiada kena mengena dengan sesiapa. Hiraukan.

Sekarang, satu hal ingin aku persoalkan kepada kau, dengan 30juzu al-Quran yang telah kau sematkan dalam dada jiwamu, apa dapat kau sumbangkan daripadanya bagi menciptakan dunia yang lebih baik? Apa pengaruh hafazanmu itu terhadap perubahan dunia sejagat? Lebih-lebih lagi disisi mana hafazanmu itu berpengaruh terhadap perubahan akhlakmu? Kalau boleh aku inginkan jawapan ini terjawab sebaiknya.

Rasanya, perkara yang aku keluhkan sebagai kesia-siaan, bukanlah tertuju pada usaha menghafaz itu, tetapi pada ketidakfahaman apakah tujuan menghafaz itu, walhal ia menjadi suatu hal yang sangat ditekankan dan dipandang tinggi, namun rata-rata hasilnya tidak memberi kesan kepada jiwa, akhlak, sahsiah dan pemikiran. Kosong dan kering. Tanpa kesan kepada diri sendiri, tiadalah berlaku kesan pada pembentukan masyarakat. Disitulah kesia-siaan mengambil tempat. Bukankah hal sebegini sudah jauh sekali daripada fungsi al-Quran itu diturunkan kepada manusia? Bukankah al-Quran diturunkan untuk manusia sejagat agar seluruh alam dapat menerima kebaikan daripadanya?Bukan sekadar menghafaz kosong.

Menghafaz al-Quran dengan cara sebegini lebih kurang sama sahaja tidak menghafaznya langsung. Seperti menjadi suatu permainan bunyi di bibir dan lidah sahaja. Adapun ada yang bersuara, dengan menghafaz kita boleh niatkan sebagai suatu zikir harian. Kita juga boleh niatkan sebagai suatu cara untuk mendekatkan diri kepada Tuhan(Allah). Ya. Menghafaz bukan tiada kebaikannya. Ada. Itu tidak dinafikan. Tetapi pandangan aku ini bertapak pada realiti dan keperluan dunia hari ini bahkan mengenai fungsi al-Quran yang paling utama. Bukan fungsi yang berlegar pada lingkungan individu semata, tetapi kepada masyarakat sejagat.

Tatkala masyarakat kita di belahan dunia gelap sebelah sana, hidup dalam keadaan derita dan perit, ada dikelilingi hutang, ada tidak mampu beri pendidikan kepada anak-anak kerana yuran persekolahan yang tidak mampu dibayar, ada perempuan yang ditipu dan dipaksa menjadi pelacur, ada yang kesempitan wang bagi membayar kos pengajian, ada ibu tunggal yang terpaksa menyara hidup keluarga dalam keadaan sukar, ada isteri yang dipukul dan ditindas suami, ada yang hidup merempat menjadi gelandangan dan pelbagai lagi, kita persoalkan, di mana muka-muka para agamawan dalam memperjuangkan nasib mereka. Lebih penting daripada itu, di mana para huffaz yang dibanggakan itu.

Ternyata, mereka hanya ada di masjid, berceramah dan menjadi imam, ada yang menjadi ustaz di sekolah-sekolah rendah dan menengah, selebihnya duduk di institusi agama seperti JAKIM dengan kerja makan gaji. adapun peringkat yang lebih tinggi menjadi mufti dan pengarah jabatan. Dan yang kurang aku suka, mereka menjadi selebriti. disitulah wajah-wajah mereka muncul.

Bukan maksud aku hendak memperlekehkan pekerjaan yang mereka lakukan. Aku sendiri sedar akan kepentingan peranan mereka sebagai guru, mufti, ustaz-ustaz di masjid, dan keperluan agamawan muncul dikaca tv dengan stail tersendiri bagi menarik beberapa kelompok madu mendekati Islam. Itu semua juga merupakan peranan yang tidak kurang pentingnya. Tetapi yang aku risaukan adalah masalah 'lambakan' dan 'kualiti'.

Dengan suasana hidup kita sekarang, di mana segala-galanya memerlukan wang, kegiatan menuntut ilmu dan melakukan pekerjaan hari ini tidak lahir atas rasa ingin mencari makna dan mengisi maksud kehidupan, tetapi rata-rata berfikir untuk selamat(survive), ingin hidup dalam keadaan selesa dan tidak bersusah payah serta hanya ingin menikmati kehidupan ini seadanya. Hinggalah mereka yang menuntut ilmu agama menerima tempias yang sama. Maka lahirlah ustaz-ustaz yang tahap ilmunya ala kadar, bekerja sekadar makan gaji, jadi pensyarah, jadi pegawai dan ustaz-ustaz yang menikmati kemewahan tanpa berkongsi. Dan jenis ustaz begini memang melambak di masjid dan sekolah. Jarang sekali bertemu agamawan yang mempunyai jiwa untuk berbakti kepada masyarakat sepenuh hati tanpa mengharapkan apa-apa pulangan. termasuklah golongan huffaz ini.

Kita begitu banyak pusat tahfiz diseluruh negara. Melambak. Tetapi dimanakah mereka ketika masyarakat yang aku sebutkan di atas memerlukan mereka? Mereka ghaib entah ke mana. Ini masalah!

Bila kita membicarakan hal yang berkaitan dengan al-Quran, kita sedang membicarakan hal agama kerana al-Quran itu sendiri dasar agama. Bagi aku, menghafaz perkara ke 2, mungkin ke 3. Perkara pertama yang harus diajarkan kepada anak-anak muda kita adalah isi al-Quran. Daripada segi prinsipnya seperti keadilan, toleransi, kasih sayang dan kedamaian mahupun daripada segi nilai peribadi muslim seperti hormat-menghormati, bersifat terbuka, menunaikan tanggungjawab kepada Tuhan dan makhluk serta pelbagai lagi. Sebelum diajarkan mereka menghafaz, perlu diajarkan kepada mereka praktik mengamalkan al-Quran itu terlebih dahulu serta penyempurnaan ibadah-ibadah khusus seperti solat dan puasa. Barulah dapat digelar HamalatulQuran. Kalau tidak ia menjadi tempang. Suasana tarbiyah mesti disuburkan terlebih dahulu. Begitulah sebetulnya.

Dengan demikian, barulah mereka jelas dengan al-Quran. Bukan menghafaznya sekadar mengejar muqarrar, fikir hendak graduasi dan dapat sijil sahaja. Tetapi mereka akan sedar akan tanggungjawab kepada diri, kepada ibu bapa, kepada masyarakat, kepada dunia, dan kepada Tuhan semestinya. Barulah keakraban dengan al-Quran dapat menjadi tanda keakraban kepada Tuhan. Andai sahaja belajar menghafaz tetapi tidak belajar beramal apa guna.

Sekuat mana usaha untuk membentuk mereka mempunyai daya hafazan yang kuat(masyi), dengan peraturan dan kaedah yang pelbagai(macam Diari Huffaz) akan menjadi sukar apabila tidak dibentuk terlebih dahulu suasana yang membolehkan spiritualiti, emosi, rohani dan akal bertumbuh dengan sihat. Dan DARUL QURAN memang tertinggal akan perkara ini. Sebab itu aku rasa aku sia-sia menghafaz al-Quran kerana aku hilang tujuan. Tiada yang mengajari aku, tiada yang mentarbiyah aku. Aku kecewa. DARUL QURAN memang gagal untuk aku.



Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"