Pengikut

Halaman

Jumaat, 21 Mac 2014

Agama mengajar kau menjadi apa?

Buat kau yang suka dan gemar komen-komen di Facebook.

Kau terlalu berkhayal melayan Facebook dan menjadi tukang komen yang entah apa-apa. Penuh sentimen, penuh biadab. Seharusnya kebebasan ini perlu bijak dimanfaatkan dan dikawal dengan terarah. Kau bebas melontar idea, kau bebas melempar rasa, kau bebas membuat apa sahaja, tetapi kalau semakin membuatkan keadaan menjadi celaru, itu sungguh tidak bermakna. Seharusnya kau lebih menyuluh damai dan harmoni, berbahas dengan etika, adab dan cinta demi mencari kebenaran, bukan mencari gaduh dan memupuk benci.

Ternyata, menyuarakan isu di Facebook itu tiada salahnya, tetapi golongan yang tidak faham, yang cuba buat faham, dan tidak cuba memahami itu terlalu sensitif. Sentiasa terasa terancam, sering tidak puas hati dan sangat reaksioner.

Aku tiada terlalu kisah buat mereka yang jahil tentang agama, yang menyerang agama, yang mengkritik agama dengan bahasa yang begitu lucah dan keji sekali aku kira. Itu kerana mereka ‘tiada’ agama. Jadi apa beza kalau engkau yang punya agama, mengaku memperjuangkan agama, menggunakan gaya bahasa yang sama seperti mereka? Tiada beza. Kau ingin pertahankan kemuliaan, tetapi tindak balas kau begitu kotor dan hina. Kau ingin pertahankan kebenaran, tetapi cara kau membalas sungguh jauh daripada kebenaran. Justeru agama mengajar kau menjadi apa?

Kau bicara tentang karma, jahat yang kau terima, jahat pula cara kau balas. Baik cara kau terima, baik pula cara kau balas. Kau kira itu cara seadilnya bagi menguruskan semua apa-apa yang melibatkan manusia. Ini aku ingatkan, itu bukan daripada agama. Agama menjadikan kau berjiwa besar. Jahat diterima, kebaikan kau beri. Seperti nabi Agung dibaling batu hingga bertakung darah di sepatunya, lalu apa yang diperbuatkan oleh nabi itu? Rintihan harapan dia hajatkan kepada Tuhan. “Moga lahir keturunan yang menyembah-Mu daripada sulbi mereka.” Maka doa hidayah patut kau mohonkan untuk mereka dalam solat dan munajatmu. Bukan dalam ruangan komen Facebook semata.


Jika marah juga kau layan, maka ternyata yang kau jaga itu kepentingan diri, bukan agama. Kerana agama mengajar kau berbudi, tidak kira siapa. Agama mengajarkan kau menyebarluaskan kasih sayang dan rahmat Tuhan. Tidak kira si Yahudi, si Kristian, si Syiah sekalipun. Andai mereka itu tidak zahir depan matamu memerangi agama suci yang kau anuti, layanlah mereka sebagai saudara sepenciptaan. Saudara semanusiamu! Bukan terus kau pukul rata kepada semua. Kau juga tidak suka agama kau dikatakan terroris bukan?

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"