Pengikut

Halaman

Khamis, 4 April 2013

"CINTA" 1



‘Cinta’ adalah perkataan yang sering diungkap dalam bait-bait lagu di radio, drama-drama televisyen, mahupun filem. Membuatkan muda-mudi khayal melayan. Walhal tiada siapa tahu maksud ‘cinta’ tersebut secara jelas dan terang. Sama juga perihal dengan frasa ‘sayang’ dan ‘kasih’. Apakah ia melibatkan perasaan semata-mata? Apakah cara menunjukkan cinta hanya dengan ‘cium’, ‘peluk’ dan ‘rindu’ semata?  Kemudian jikalau benar ‘cinta’ itu wujud, ke mana kah arah destinasinya? Hey, bab ‘cinta’ juga kita perlu jadi kritis.

                                Kalau kita cinta seseorang mahupun sesuatu, seolah-seolah perkara yang dicintai itu wajib dimiliki. Jarang-jarang saya melihat jika kita cintai sesuatu itu, kita sanggup untuk melepaskan. Hairan pula. Siapa yang sebenarnya kita cinta? Diri kita sendiri atau seseorang yang kononnya kita cintakan itu? Siapa yang kita ingin kita bahagiakan? Diri kita sendiri atau seseorang itu? Bukankah falsafah cinta ada mengatakan, “Pabila kita minta dicintai, sebenarnya kita sudah tidak mencintai!”

Menderita kerna cinta
                                Hebat benar insan yang bercinta. Sanggup meredah lautan api, ranjau berduri demi menjaga ‘cinta’ yang terpatri. Namun pabila kekasih mengundur hati, kes bunuh diri pula terjadi. Katanya, “Batin terseksa!”, “Tidak boleh hidup tanpa dia.” Habis itu sebelum kau jumpa dia, kau nazak hendak mati ke?! Alahai, demi ‘cinta’ nyawa tergadai dengan sia-sia. Bahkan tanpa maruah.

                                Ya. Saya ada terbaca dalam blog seseorang bahawa sebelum kita sendiri merasa ‘cinta’ tersebut bolehlah kita bercakap dan kritik macam-macam. Sebab itu ramai juga kita melihat, kalau dahulu si A itu sibuk nasihat orang, tinggalkan maksiat, jauhi zina, jangan bercouple. Hari ini dia sendiri tidak makan dengan nasihatnya. Sungguh hebat sekali penangan ‘cinta’. Tetapi apa yang saya ingin katakan di sini, saya sendiri pernah kena penangan itu, dan saya juga menjadi kebingungan dengan kebodohan diri saya.

Mengapakah kita menderita kerana ‘cinta’?!

                                Saya percaya itu bukan ‘cinta’, itu mainan perasaan yang digolek-golekkan oleh syaitan dalam menyesatkan manusia. Dalam cinta memang wajib ada derita, Cuma sepatutnya pabila kita menangis kerna khianat ‘cinta’ manusia, kita perlu lebihkan tangisan kerna khianat cinta kita kepada Allah. Namun syaitan itu bijak memperdaya. Kerna manusia batin terseksa, tetapi pabila kerna Allah, “Ada aku kisah?!” Sedangkan cinta manusia sering bermusim dan tiada abadi. Cinta Allah pula janjinya pasti.

Oh isu couple
                                Bagi saya sendiri, berpada-padalah menasihati orang yang bercouple itu. Soal perasaan memang tidak boleh dihalang. Mereka bukan tidak makan nasihat, mereka cuma susah untuk hindar maksiat. Daripada sibuk menghalang lebih baik kalau kita terus membimbing dan memerhati agar hubungan itu tidak jauh melarat. Itulah erti menjadi seorang sahabat. Saya tidak kata, kita perlu meredhai. Tidak. Saya cuma takut nasihat-nasihat kita itu mereka anggap sesuatu yang merimaskan. Ada baiknya juga kita beri kebebasan kepada mereka dan jadi sahabat yang baik untuk dia agar mudah untuk kita memberi cadangan dan pandangan. Pandangan dan cadangan lebih bersifat terbuka berbanding nasihat yang bersifat seakan memaksa.

Cuma benar-benar yang menghairankan, apakah halatuju couple ini?

                                Berdasarkan ‘perbincangan’ dengan Dr Cinta yang tidak pernah bercinta, merangkap adik perempuan saya. Hehe. Orang yang bercouple ini rata-rata cetek pemikiran. Lebih-lebih lagi perempuan. Mereka menyangka untuk bahagia hanya perlukan cinta dan kasih sayang. Sifir mereka cukup mudah. Bercinta, berkahwin dan terus bahagia. Tidak realistik langsung. Tidak hairan ada perempuan yang bercinta dengan orang Indon, berpindah ke Indon, hidup melarat, pulang ke Malaysia, lepas itu yang pertama sekali keluar daripada bibir, “Menyesal!”

                                Daripada hendak melayan bab romantik dan hal ehwal sweet dan gula-gula. Kalau betul-betul kita serius dengan perhubungan, lebih baik fikir soal nafkah zahir batin, pendidikan anak-anak, rumah, kereta dan macam-macam. Jangan menyangka semua itu mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui. Tetapi saya pasti ramai akan berasa kekok untuk fikir hal semua itu, dalam fikiran dia, "Aku muda lagilah. Nak enjoy dulu. Taknak lagi fikir soal tanggungjawab. Uh. Seram." Apapun sebab itu perlu kukuhkan dahulu kedudukan diri daripada segala macam aspek berbanding berkhayal tentang ‘imam’ dan ‘makmum’ ataupun membina masjid, sedangkan masjid pun tak pergi untuk sembahyang berjemaah. (=,=)

                                Sekadar makluman untuk orang perempuan, kebanyakan lelaki ini couple dengan anda untuk suka-suka sahaja. Ini berdasarkan ‘wawancara’ saya dengan mereka yang pernah bercouple dan sedang bercouple. Kalau anda minta kahwin dengan dia, nescaya gelabah mamat itu sebab dia belum bersedia tetapi gatal hendak main cinta dengan anak dara orang. Antara yang masyhur daripada mulut playboy ini, “Aku dah couple dengan ramai perempuan tapi yang ini aku serius!” Alahai. Dah ramai, yang ini baru nak serius. Lepas itu putus juga. Tapi yang jenis setia itu, memang setialah. Saya ada juga jumpa yang setia dan dia pula yang dipermainkan.

Kurangkan artikel-artikel cinta yang mendayu
                                Sangat membosankan pabila membaca artikel mahupun mendengar forum berkaitan cinta. Soalnya, mereka mengulang-ngulang pada rangka masalah yang sama dan jalan penyelesaian yang sama. Bila masuk bab cintan-cintun ini, itulah juga yang mereka perkatakan. Cukuplah dengan nama kita sebagai bangsa Melayu, janganlah sikap pun semakin lemah longlai dan me’layu’. Bangsa Cina pun tidak sebegini lemah. Bangsa Eropah yang lebih pekat budaya cinta seks bebas mereka pun masih mempunyai sikap kritis dan kreatif.

                                Ya. Isu cinta memang penting. Saya tidak membantah kata-kata Ustazah Fatimah Syarha tentang pentingnya isu cinta ini. Tetapi ke mana kah arah perbincangan kita? Ia bukan mencari lelaki soleh dan wanita solehah mahupun berputar pada perasaan dan rasa hati semata. Ia soal membina Baitul Muslim yang berkualiti dan yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah masyarakat. Tidak semudah bicara, “Perlu bercinta kerna Allah SWT”. Soal tanggungjawab, amanah, sistem juga ada berkaitan kerna sebuah keluarga ibarat sebuah kerajaan ataupun Negara kecil yang diperintah sang suami.

                Saya cuma mengkritik mereka yang sibuk hal ‘cinta’ tetapi meninggalkan hal-hal yang lebih penting. Hal cinta adalah pemula bukan segala. Dalam cinta kita mengenal ikhtilat, peranan lelaki dan wanita dan soal hati yang perlu diukur priority(keutamaan) antara Allah, Rasul, dakwah, agama dan manusia. Lepas itu kita harus menginjak lebih tinggi dalam soal pendidikan, pembudayaan, ketamadunan, disiplin ilmu dan pembinaan masyarakat. Jangan orang lain semakin maju, kita masih duduk ditakuk yang lama. Banyakkan muhasabah diri. Seharusnya pergerakan Islam kita harus lebih dinamik dan progresif daripada gerakan-gerakan yang lain. Semua ini juga demi cinta. Semoga Allah terus memberkati dan merahmati.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"