Pengikut

Halaman

Jumaat, 21 Mac 2014

Mempergiatkan wacana terbuka melalui penulisan

Menelaah tulisan-tulisan Ustaz Hasrizal di blog beliau, diri aku terjentik kecil berkenaan sesuatu hal yang sudah lama aku tanggapi kesesuaiannya untuk dipraktikkan. Yakni kegiataan wacana terbuka di Malaysia.

Menelusuri seputar perbahasan ‘anti-hadith’ ataupun disebut Quranist antara Ustaz Hasrizal dan Farouk A. Peru yang terdapat dalam Saifulislam.com, aku terfikirkan sesuatu. Perbahasan sebegini, biarpun seperti berlaku antara dua pihak sahaja, sebenarnya merupakan sebuah platform yang baik bagi masyarakat untuk menilai sesebuah idea itu melalui pandangan pro-kontra yang berlaku perbahasannya di ruang awam maya. Hal seperti ini juga boleh dikira sebagai suatu wacana terbuka. Suatu bentuk discourse yang diperbahaskan secara tidak rasmi dan mampu dikembangkan dan disertai oleh setiap individu dan golongan masyarakat yang memerhati.

Daripada pandangan peribadi aku sendiri, aktiviti seperti ini harus dipergiatkan dengan lebih rencam lagi. Perbahasan dalam ruang awam maya harus diperkasakan. Tidak perlu menunggu dua pihak yang bergeser hujah untuk dipertemukan dalam acara debat, wacana mahupun diskusi berbentuk majlis(ceremony), mereka boleh melontarkan hujah-hujah mereka melalui  penulisan yang aku kira sangat baik. Dengan cara ini, dua-dua pihak akan lebih jelas lagi hal yang ingin disampaikan oleh lawan mereka, bahkan melalui cara ini, mungkin kita akan mendapati sesuatu perbahasan tidak akan habis dan berlarutan dalam suatu jangka masa yang lama, dibahaskan sampai lumat. Malahan mungkin segala makalah yang dituliskan oleh kedua-duanya itu boleh dikumpul dan dijadikan sebuah buku. Ini suatu hal yang menarik. Sepertimana yang berlaku antara Soekarno dan M. Natsir.

Budaya yang ingin aku promosikan dalam kegiatan wacana terbuka melalui penulisan ini adalah budaya mencabar kebenaran dan kepercayaan diri kita sendiri dengan cara mencabar idea orang lain(bukan mem’batil’kan idea orang lain). Budaya ini hanya dapat dipraktikkan dengan mengkritik idea orang lain melalui kerangka pengetahuan diri kita secara berdepan dengan pihak lawan agar pihak lawan dapat mengkritik idea kita kembali. Tidak seperti apa yang berlaku hari ini. Para agamawan mengkritik ‘anti-hadith’, liberalism, sosialisme, Syiah dan lain-lain secara cakap belakang semata. Mereka menyongsong rasa kebatilan dalam diri setiap pendengar dan pengikut mereka terhadap pihak lawan tanpa pembelaan daripada lawan mereka sendiri. Ini tidak adil dan memalukan serta satu sikap pengecut!


Buat mereka yang meragui, rasa takut untuk melakukan wacana terbuka kerana merasa kegiatan seperti ini mampu merosakkan pemikiran anak muda, mampu menyelewengkan akidah mereka, pertama sekali aku ingin katakan bahawa anak muda yang rosak itu tidak rajin membaca. Kalau betul dia rajin membaca, dia akan rajin berfikir. Pabila dia rajin berfikir, jangan dirisaukan untuk mereka sesat atau tidak. Sesat dalam berfikir lebih baik daripada ‘sesat’ tidak berfikir. Kerana sekurang-kurangnya yang berfikir itu sudah menjadi manusia, yang tidak berfikir itu hanya robot yang tahu mengekor sahaja perintah tuannya. Taklid itu bukan iman. Berfikir itu mengukuhkan iman.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"