Pengikut

Halaman

Khamis, 18 Oktober 2012

Emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur.


Selama saya berada dalam dunia tarbiyah dan dakwah, beberapa kalimat yang kurang menyenang daripada pendakwah-pendakwah muda ini yang saya dengar. Antaranya “Asyik kita sahaja yang hendak jaga hati mereka(mad’u), siapa hendak jaga hati kita?” Berbunyi seakan tidak puas hati bukan. Malangnya tampak jelas para daie ini sedang menyeleweng. Bukankah para daie sepatutnya menjaga ‘hati’ Allah, bukan diri mereka atau sesiapa?

                Pabila berbicara tentang isu ‘tidak puas hati’ dan ‘menjaga hati’ ini, saya baru terbaca artikel Manusia memang tidak puas hati dengan kita. Allah tidak begitu oleh Hilal Asyraf di langitilahi.com. Saudara H.A menceritakan pengalaman dirinya selama berada di jalan dakwah yang sungguh berliku. Adakala difitnah, tidak kurang juga seringkali dicemuh. Manusia memang tidak puas hati walaupun kita berusaha menjaga hati mereka. Paling tidak disangka-sangka dan menusuk hati apabila orang yang baik dengan kita, yang kita anggap sebagai sahabat tikam kita daripada belakang. Aduh, pedih sangat!

                Segala yang diceritakan oleh saudara H.A itu merupakan lumrah yang sering ditempuh oleh para pejuang kebenaran. Lebih-lebih lagi para anbiya’. Mereka adalah golongan manusia yang paling berat ujiannya. Jika hendak dibandingkan ujian yang dihadapi kita dengan tokoh-tokoh pasca khilafah pun tidak mampu, apatah lagi dengan para anbiya’. Ujian di jalan dakwah memang panjang dan berat. Senjata paling ampuh untuk menghadapi tekanan ujian ini tidak lain tidak bukan hanyalah sabar.

Namun sabar yang bagaimana yang saya maksudkan? Itulah sabar yang membuatkan emosi dikendur, kasih sayang disalur, Allah menjadi matlamat yang luhur. Sabar yang dipraktik Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

Bagaimana caranya? Disinilah saya hendak berkongsi.

Mengenali manusia.

                Manusia merupakan makhluk yang bersifat egosentrik dan sering tidak kalah untuk menjustifikasikan perbuatan mereka sendiri. Sepertimana kita lihat zaman sekarang, begitu ramai manusia berbalah mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing. Tidak kira dalam isu politik, agama, feqah dan sosial sehingga menyukarkan untuk kita mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan sesuatu hal. Inilah realiti manusia.

                Kesinambungan daripada sifat ego yang mengakibatkan perpecahan umat ini adalah sifat lupa diri. Pernah tak kita mendengar ada rakan-rakan kita mengadu, “Mengapa manusia suka mencari salah orang lain tetapi tidak nampak salah sendiri?” Ada juga daie yang berkata kepada mad’unya, “Mengapa kau ini tidak mahu dengar nasihat, aku cakap perkara yang betul!” Sebenarnya kedua-kedua persoalan itu, jawapannya terdapat pada diri mereka. Sifirnya, apabila kita berbicara tentang orang lain, secara tidak langsung kita berbicara tentang manusia. Apabila kita berbicara tentang manusia, kita harus sedar dan tidak lupa diri bahawa hakikatnya kita sedang berbicara tentang diri kita sendiri kerana diri kita adalah manusia.

Di sini, method empati dapat dipraktikkan. Apa yang orang lain inginkan, kita juga inginkan perkara yang sama. Setiap keperluan dan kehendak orang lain, kita juga pernah merasakan hal yang sama. Cuma perlu selami dan kenali dengan lebih mendalam dan sabar. Jom kita kiatkan pula dengan emosi, kasih sayang dan Allah.

Mengendur emosi

Emosi lahir daripada rasa tidak puas hati. Tidak puas hati lahir daripada sifat ego(sombong) yang berada dalam hati manusia. Apabila manusia dilanda emosi, perilaku mereka menjadi tidak keruan, akal mereka berubah tidak waras. Kita akan hilang pertimbangan dan rasional. Ketika itu syaitan mengambil peluang mendendangkan falsafah yang mampu mengisi kehendak emosi. Pastinya falsafah yang merosak diri.

Perhatikan. Anda melihat manusia sedang marah dan dipenuhi kebencian, itu emosi. Begitu juga manusia yang dirundung kesedihan dan kecewa, itu emosi. Tatkala emosi merasuk diri, sindrom ‘tidak kisah’ dan ‘tidak peduli’ mula timbul. Dosa atau pahala, baik atau buruk tidak diambil kira dalam mengambil keputusan membuat sesuatu tindakan. Tidak hairan kita melihat ada manusia yang tidak takut menabur fitnah terhadap orang yang dibenci. Tidak kurang juga terdapat manusia sedih yang mempersoalkan ketentuan Allah terhadap dirinya. Kerana mereka sedang beremosi.

Seorang daie tidak boleh terlalu beremosi. Dengan emosi, semua peluang kejayaan dakwah akan diragut. Anda bayangkan terdapat perintah Allah supaya membalas kejahatan dengan kebaikan hingga suatu ketika mereka yang membenci kita akan menjadi teman. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Tidak. Sebagai daie Allah memerintahkan kita menyeru dengan cara yang hikmah dan berdebat dengan cara yang baik. Adakah orang beremosi mampu melakukan semua itu. Pastinya tidak.

Justeru emosi harus dikendur dan sabar harus dipupuk terlebih dahulu. Jangan bersikap terburu. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada hati adalah dengan membenci dosa bukan membenci pelaku dosa. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada lisan adalah dengan nasihat dan kata-kata yang baik bukan cemuhan dan cacian. Kemampuan mencegah kemungkaran yang terletak pada tangan adalah dengan bimbingan dan memberi pengajaran bukan hanya sekadar hukum menghukum. Semua ini hanya dapat dilakukan apabila emosi dikendur.

Kasih sayang disalur

                Emosi yang dikendur dengan emosi yang ditahan(diempang) mempunyai jurang perbezaan yang ketara. Pengenduran emosi selalunya disusuli dengan saluran kasih sayang. Emosi yang ditahan(diempang) pula hanyalah suatu proses melambat-lambatkan kemarahan. Bahkan sekiranya ia terlalu lama diempang maka akan mengakibat pukulan emosi yang deras dan kuat terhadap iman apabila dilepaskan. Saya pasti anda pernah dengar kata-kata ini, “Aku sudah puas menahan sabar dengan kau.” Itulah kata-kata emosi seseorang sedang meletus ibarat gunung berapi setelah diempang begitu lama.

                Emosi yang dikendur akan disusuli saluran kasih sayang. Itulah sabar yang sebenar. Setiap perilaku kita ibarat belaian ibu terhadap anaknya. Dan yang pasti  kasih sayang itu haruslah selari dengan tuntutan syarak. Lagipun manusia memang inginkan perhatian dan kasih sayang seseorang apabila dilanda kesusahan dan musibah. Adakala manusia yang sering melakukan dosa bukan kerana tidak mahu berubah tetapi menanti seseorang untuk membimbingnya. Tetapi seringkali dia hanya dapat orang yang menghukumnya. Betapa tepat sekali pepatah ini, “Manusia tidak kisah apa yang kamu tahu, dia hanya kisah apakah kamu sayang”.

Mungkin kisah sahabat nabi, Abu Darda RA ini mampu menerangkan lebih lagi
“Abu Darda RA telah menjadi hakim di Damaskus. Beliau telah menangani pelbagai jenayah. Satu hari beliau mengumumkan hukuman yang dijatuhkan terhadap seorang penjenayah dan kes itu dikira selesai. Bagaimanapun beliau terdengar seseorang yang mencerca orang yang bersalah itu. Kerana mendengar cercaan itu, beliau bertanya kepada orang yang mencerca itu:

                “Apakah yang engkau akan buat apabila melihat seseorang jatuh ke dalam lubang yang dalam?”   

                “Aku akan hulurkan tali untuk selamatkan dia”

                “Oleh itu mengapa engkau tidak berusaha untuk menyelamatkan lelaki ini yang jatuh ke dalam lubang kemaksiatan?”

                “Apakah engkau tidak membenci pelaku dosa ini?”

                Abu Darda menjawab dengan sungguh berakhlak, “Aku bukan musuh dirinya tetapi dosanya”

Allah menjadi matlamat yang luhur

                Matlamat dakwah adalah menyeru manusia mentauhidkan Allah. Itulah perkara utama yang harus ditekankan iaitu tauhid. Ramai orang hanya berpegang Islam tanpa tauhid hakiki. Sedangkan orang yang benar-benar memegang tauhid telah memasuki Islam secara menyeluruh. Dan disebabkan Allah menjadi matlamat yang luhur, suka saya berkongsikan kata-kata yang saya dapat daripada saudara saya yang mengikuti Jemaah Tabligh.

                “Kita sering menyangka dakwah adalah menyeru manusia lain kepada Allah dan membetulkan diri mereka. Sedangkan dakwah adalah seruan kepada diri kita sendiri agar menuju kepada Allah kerana apabila kita berusaha menyeru orang lain, secara tidak langsung kita akan bersungguh memperbaiki diri agar usaha ini diberkati Allah dan diterima orang ramai. Maka tauhid akan tercapai.”

                Saya terkesima mendengar kata-kata ini. Cukup menyedarkan hati dan sanubari. Apabila kita hendak menasihati orang lain kita harus menasihati diri kita sendiri. Bagaimana kita mampu memberi manfaat terhadap orang lain sedang diri kita tidak mendapat manfaat. Takutlah peringatan Allah tentang kebencianNya terhadap orang yang menasihat orang lain tetapi melupakan dirinya. Bersabarlah dalam berdakwah dan jangan bersikap gopoh.

Kesimpulan
Erti hidup pada memberi.
Jangan sedih apabila tidak disayangi, sedihlah apabila diri tidak mampu menyayangi.
Jangan sedih apabila tidak dihargai, sedihlah apabila diri tidak berharga dan tidak menghargai orang lain.
Paling penting sabar.

Wallahualam :)

p/s : Semua yang terdapat dalam artikel ini diteladani daripada akhlak tokoh-tokoh agama dan kutipan daripada isi-isi tulisan mereka serta diolah mengikut ijtihadi. Selamat beramal!

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"