Pengikut

Halaman

Jumaat, 21 September 2012

Umat Islam, ayuh bangkit!


Mereka tidak akan pernah berhenti. Selagi bumi ini bertatahkan Islam sebagai hiasan kemanusiaan dan ketamadunan, selagi itu para durjana yang berhasad penuh kebencian terus cuba merobek dan membuangnya. Permusuhan ini bukan permusuhan bangsa dan agama, bahkan ini adalah permusuhan yang dicetuskan segolongan manusia yang ingkar kepada Allah yang Maha Esa. Lalu jiwa-jiwa yang berpaksikan wahyu dan sunnah sebagai jalan hidup akan terus diserang bertalu-talu dengan segenap kekuatan yang mereka ada. Rasulullah tidak puas dicaci hina, umat Islam tidak sudah diganyang dan dibinasakan. Namun, biarpun apa yang terjadi percayalah cahaya Islam ini tidak akan terpadam. Ini janji Allah kepada Rasul, kepada umat, kepada kita, anda dan saya.

“Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai”. (At-Taubah: 32)

                Realiti kondisi umat Islam sekarang memilukan. Ramai yang merana ditindas dan dizalimi. Kebebasan mereka disekat, hak mereka ditahan, kebajikan mereka terbengkalai. Paling perit nyawa mereka seolah-olah tiada harga langsung pada kaca mata kemanusiaan. Ternyata, mereka dilayan oleh segolongan syaitan yang bertopengkan manusia kerana sebenar-benar  manusia itu sepatutnya adan nilai simpati, kasih saying dan kebaikan walaupun sedikit.

Cuba kita tinjau kembali bagaimana muslim Rohingya disembelih dan diinjak-injak maruah mereka. Rakyat Palestin yang daripada dahulu sampai kini masih dibelenggu krisis dan konflik. Tidak lupa juga kepada Syria yang masih lagi diganyang oleh pemerintah kejam mereka. Belum lagi dikira di negara-negara yang mengharamkan pemakaian tudung untuk penganut muslim. Ah. Terlalu banyak untuk diceritakan.

                Dan yang terbaru filem Innocence of Muslim telah membuatkan darah umat Islam seluruh dunia mendidih apabila peribadi Rasulullah digambarkan dengan penuh jijik dan hina! Peristiwa penghinaan ini adalah salah satu rentetan daripada siri-siri penghinaan sebelumnya seperti filem Fitna dan karikatur nabi yang mendapat banyak bantahan daripada umat Islam.

Sungguh, mereka tidak akan berhenti! Kebencian yang meruap-ruap dalam diri musuh-musuh Islam ini telah meranapkan seluruh kejernihan hati insan. Mereka telah mencampakkan fitrah hidayah kurniaan Allah itu sejauh-jauhnya dan terus membuta terhadap kebenaran.  Inilah yang disebut oleh Allah melalui firmanNya dalam Al-Quran

“Allah telah mengunci hati dan pendengaran mereka, penglihatan mereka telah tertutup, dan mereka akan mendapat azab yang berat.” (Al-Baqarah : 7)

                Justeru apakah reaksi dan tindakan kita? Hari ini saya melihat ramai yang ingin berkumpul membuat demonstrasi bantahan dan tunjuk perasaan terhadap filem tersebut. Syabas! Saya puji dan sanjung. Laungkan rasa sensitiviti kita dengan cara selayaknya. Buktikan bahawa kita umat yang sentiasa memuliakan baginda, tidak rela sesekali baginda dicuit dengan kata nista mahupun cemuhan. Apatah lagi manusia yang mencela baginda dengan bentuk lakonan yang sangat jijik dan kotor.


Ayuh bangkit! Kini saya bukan sahaja menyeru anda untuk berdemo, tetapi ada suatu yang lebih utama lagi. Ayuh kita bangkit menghidupkan sunnah baginda. Cinta suci tidak sempurna hanya dengan berdemo, kerana selepas berdemo perasaan marah itu akan reda. Maka himpunan ini harus disusuli dengan kesedaran, lantaran kesedaran mampu dibawa pada setiap liku perjalanan. Kesedaran bahawa selagi umat Islam kini masih lemah, maka musuh-musuh Islam akan makin berani mempermainkan kita.

                 Kita tidak mahu lagi baginda dihina lagi. Kita tidak ingin melihat nyawa saudara kita di sana terus dirobek. Kemarahan semata-mata tidak tepat dalam mendukung rasa prihatin kita pada Rasulullah dan umat. Sebaliknya sunnah baginda dan perpaduanlah yang harus kita junjung demi meraih kekuatan  dan ruh Islam. Islam tidak akan tertegak dengan akal, ilmu, sains dan teknologi. Islam tertegak dengan ibadah, sunnah, doa dan perpaduan umat Islam! Letuskan kemarahan kita dengan jiwa harapan dan perpaduan. Perbanyakkan aliran air mata keinsafan dan kesedaran dengan hati kehambaan.

Sesungguhnya nusrah Allah datang apabila hati-hati umat ini saling terpaut dan apabila hanya kepada Allah kita bertawakal dan bergantung harap. Hikmah yang tercicir itu bukan ilmu, sebaliknya identiti. Ketika dulu, para muslimin menumpukan hidup pada hari selepas mati, di zaman ini kita sibuk mencari rezeki dunia dan takut mati. Ketika dulu harta dan keluarga ditinggal demi memperjuangkan agama, kini agama sanggup dijual dengan murah demi meraih nikmat yang tidak seberapa.  Jadi kesimpulan bagi segala bentuk kesedihan dan musibah yang melanda umat sekarang ini adalah teguran dari Allah.

Kita masih leka dan lalai. Hanya tergerak dan terlintas untuk bertindak apabila timbulnya isu. Sedangkan hal ehwal umat Islam adalah “Isu sepanjang  masa, bukan isu semasa” . Tidak hairanlah di sini kita masih lagi sibuk bertelagah sesama sendiri, hingga apabila hendak melaksanakan rencana yang mengandungi kepentingan ummah pun akan terhalang akibat perbezaan ideologi dan perjuangan.

Belum lagi dikira dengan individu-individu yang langsung tidak ambil cakna dan mengamalkan falsafah “Ada aku kesah?” dalam hidup mereka. Di sini kita boleh lagi bergelak ketawa dan bergurau senda. Punya ruang lagi untuk bersenang lenang dan tinggal di kediaman yang selesa. Tetapi ingat. Itu semua hanya buat masa ini. Siapa jamin Malaysia ini tidak akan diserang? Maka sekarang kita harus berrsedia membina kekuatan dan keteguhan iman untuk menunggu sesuatu yang tidak diduga.

Kita perlu bersatu dan berpadu. Nilai-nilai Islam yang pudar harus digilap kembali.
Maka ayuh kita bangkit! Kita kembali menjulang Islam di mata dunia   

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"