Pengikut

Halaman

Ahad, 2 Disember 2012

Agama dan Kebebasan Berfikir(Pandangan Awal)



                             Dalam Al-Quran, ada satu golongan mulia yang disebut sebagai manusia Ulul Albab. Yakni manusia yang sentiasa memikirkan dan memperhatikan kebesaran Allah melalui tanda-tanda kejadian alam semesta seperti langit dan bumi, bulan dan matahari, siang dan malam juga lain-lain lagi. Begitu juga dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyeru penganutnya menggunakan akal bagi mencari ibrah dan pengajaran daripada kejadian alam ini seperti 'afala ta'kilun' dan 'afala tatafakkarun'.[1]

                                Hal ini jelas, tidaklah akal itu diciptakan kecuali bagi sesuatu tujuan yang signifikan, yakni mendekatkan diri kepada Allah melalui penelitian, pemerhatian dan persoalan akan maksud segala penciptaan Allah. Kerana itu juga kemuliaan manusia disandarkan sejauh mana kita menggunakan akal dalam menggapai maksud Allah menghidupkan diri kita di atas dunia ini. Ia menjadi satu medium yang paling penting bagi membawa kita kepada mengenal Allah melalui kebesaran dan kebijaksanaanNya mengatur dan mengurus alam ini. Tanpa akal kita tidak pernah akan jadi manusia dan hambaNya.

Sepertimana kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali, "Manusia sudah tidak dikatakan manusia apabila mereka sudah tidak berfikir."[2]

Dan apabila umat Islam mula rencam berfikir, maka bercambahlah akar-akar kefahaman dan ilmu yang bersumber dua elemen, Al-Quran dan As-Sunnah.

Pemikir dan Pemikiran Islam

                                Semakin jauh kita daripada zaman Rasulullah SAW semakin runcing masalah-masalah kehidupan yang timbul dan memerlukan aktor-aktor Islam yang berwibawa bagi mentajdid pemahaman Islam yang semakin keliru di mata masyarakat. Dalam usaha menerangkan Islam kepada manusia yang berkaitkan rapat dalam sistem sosial kehidupan, maka lahirlah pemikir-pemikir Islam ataupun lebih diistilahkan sebagai ulama' bagi memimpin umat yang makin jauh daripada jalan Islam yang sebenar. Wajar sekali Rasulullah SAW mensifatkan "Ulama' sebagai pewaris para nabi".

                                Sebelum itu, untuk lebih jelas peranan pemikir atau ulama' ini, kita lihat dahulu apakah ciri-ciri bagi seorang yang digelar sebagai pemikir Islam. Dikatakan terdapat 3 ciri-ciri pemikir Islam yang diangkat oleh Muhammad Al-Bahi. (1)Mengistinbat hukum daripada Al-Quran dan As-Sunnah bagi menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan kehidupan manusia. (2)Menyelarikan ajaran Islam dengan pemikiran asing. (3)Menolak akidah yang menyimpang daripada akidah Islam.[3] Daripada ciri-ciri inilah maka lahir beberapa disiplin ilmu dalam skop yang berbeza-beza.

                                Istilah-istilah seperti Usul Fiqh, Tasawuf, Kalam(Mantik) dan Tafsir merupakan suatu bentuk pemikiran Islam yang telah disusun dan dibentuk lengkap menjadi suatu disiplin ilmu bagi menerangkan Islam kepada masyarakat. Dalam disiplin ilmu ini terdapat elemen penyusunan(wadi'), tujuan penyusunan(ghayat) dan skop perbahasan(mabahith). Bagi sesiapa yang merupakan ahli dan pakar dalam bidang-bidang tersebut digelar sebagai Sufi, Fuqaha', Mutakallim dan Mufassirin. Si Sufi akan bicara tentang tasawuf. Si fuqaha' pula akan berbahas masalah feqah.[4] Kita tidak akan jumpa si Fuqaha' bicara pandai sebagai dalam hal Mantik. Jika ada, maka akan timbul masalah kerana itu bukan bidang kepakaran mereka. Kecuali kalau memang telah menguasai semua ilmu ini.

                                Tetapi apabila disebut pemikiran Islam secara umum, ia tidak menunjuk suatu elemen dan skop perbahasan yang jelas. Justeru ramai insan yang senang untuk bergelar pemikir Islam. Apabila seseorang itu berfalsafah mengenai Islam, tidak kira tentang feqah, tafsir mahupun tasawuf akan disebut sebagai pemikir Islam biarpun perbahasan yang dilakukan dan pemikiran yang dibawa tidak selari dengan prinsip Islam. Hal ini akan mengakibatkan Islam dan perkaitannya dengan masalah yang melingkari hidup manusia akan ditafsir dan diterangkan dengan cara yang tidak tepat. Lagi memburukkan keadaan jika ia menyeleweng.[5]

                                Oleh itu kerana kewaspadaan, ulama' menggariskan syarat bagi menjadi pemikir Islam(mujtahid) bagi menghindarkan umat dan masyarakat terhindar daripada pengaruh fahaman dan tafsiran Islam yang menyeleweng. Tetapi melalui ini pula timbul isu bahawa hak kebebasan bersuara dan berfikir telah dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja ataupun dikatakan golongan berautoriti yakni ulama'. Sebahagian golongan mendakwa ulama' tidak membenarkan orang awam mempertikai fatwa yang telah dikeluarkan mereka. Apakah hak kebebasan berfikir dan bersuara orang awam telah dinafikan?

Islam tidak menafikan Hak Kebebasan berfikir

                                Sirah dan tradisi keilmuan Islam terdapat bukti yang jelas bahawa setiap penganutnya diberi kebebasan berfikir dan melakukan ijtihad dalam hal-hal yang bersangkut paut dalam agama. Seandainya tiada, mengapa Syura menjadi suatu perkara yang digalakkan dan menjadi asas utama sistem pemerintahan Islam itu sendiri? Bagaimana pula wujudnya Ijmak ulama' dan Ijmak sahabat yang membincangkan hukum yang tidak dapat ditemui dalam Al-Quran dan As-Sunnah?

                                Mungkin sesetengah pula menjawab, sepertimana yang saya sebut di atas tadi bahawa Islam hanya membenarkan penafsiran ajaran Islam dimonopoli oleh sesama golongan tertentu sahaja sepertimana ijmak ulama' dan ijmak sahabat tadi. Oleh itu disamakan ulama'-ulama' kita dengan golongan rahib, di mana rakyat hanya mengikut sahaja hukum hakam yang dikeluarkan oleh mereka ini tanpa bantahan, penilaian dan kritikan. Ternyata hal ini tidak benar sama sekali. Jika ada sekalipun, itu diamalkan oleh sesetengah golongan agama yang menyempitkan keluasan konsep rahmat, toleransi dan kasih sayang dalam Islam.

                                Kaji semula sejarah perkembangan 4 mazhab feqah yang besar. Keempat-keempat Imam tersebut tidak pernah mengatakan hukum yang mereka ijtihadkan itu mutlak. Malah dilarang pelajarnya daripada bertaklid dengan hukum yang dikeluarkan kerana terdapat kemungkinan salah dan benar. Mereka jelas hal itu, kerana setiap manusia mempunyai keterhadan daya upaya. Sekiranya benar diambil, jika salah ditolak dan ambil pandangan yang lebih benar.

                                Dengarkan kata-kata Imam Syafie pula, "Pandanganku adalah benar dan mengandungi kemungkinan salah. Pandangan lain adalah salah dan mempunyai kemungkian benar." Daripada sini Imam Syafie mengajak kita berfikir. Bukan terus mentaklid membuta tuli. Maka jelas Islam mengamalkan kebebasan berfikir bagi orang awam agar mengkaji dan menilai sesuatu hukum sebelum berpegang dengannya. Tetapi timbul pula satu persoalan, "Bukankah kalau Islam mengamalkan kebebasan berfikir dan bersuara akan mendedahkan akidah umat kepada kerosakan?"

                Islam memberikan kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk berijtihad dan berfikir. Namun ditekankan di sini, ruang fikir itu hendaklah berlegar pada disiplin ilmu yang disusun ulama' dan berkisar pada perihal yang Zanni dan Muthaghayyirat, bukan pada hukum yang thabit dan qat'ie. Seperti soal aqidah dan hukum Allah, hudud yang bersifat qat'ie tidak boleh dipertikaikan dan dikritik. Jadi di sini Islam memberi kebebasan pada aspek tertentu sahaja dengan panduan dan kawalan agar tidak terbabas. Cuma persoalan yang merunsingkan benak kepala sesetengah pihak adalah, "Apakah tindakan yang patut diambil buat orang yang telah menyeleweng dalam pandangannya terhadap Islam kerna tidak mengikut garis panduan Islam. Apakah mereka ini patut diberi ruang untuk menyampaikan dakyahnya?"


Hujah dilawan hujah, dalil dilawan dalil

                                Dalam suatu majlis ilmu yang dibuat oleh Hasan Al-Basri, bangun seorang pelajarnya yang mempertikaikan ajaran beliau. Wasil bin Atta' namanya. Dia berpandangan bahawa seseorang yang melakukan dosa besar bukanlah seorang Mukmin atau seorang Kafir tetapi orang itu berada ditengah-tengah antara Mukmin dan Kafir dan tempatnya adalah neraka buat selamanya. Apakah ketika Wasil mengeluarkan pandangan ini dia dikecam dan dibunuh? Tidak. Dia hanya dikeluarkan daripada jemaah dan lahirnya jemaah baru yakni Muktazilah. Beliau diberikan kebebasan untuk berfikir dengan pandangannya, tetapi beberapa masa lepas itu jemaah Muktazilah ini diimbangi oleh jemaah Asyairah dan Maturidiah sebagai lawannya. Inilah yang harus diamalkan oleh kita.[6]

                                Rakyat Malaysia majoriti bersetuju untuk mengharamkan buku Irshad Manji diterbitkan di Malaysia dahulu kerana difikirkan akan mempengaruhi fikiran masyarakat dan memungkinkan akidah umat akan rosak. Tetapi ramai tidak mengetahui bahawa punca yang menjadikan beliau, yakni Irshad Manji berfikiran liberal adalah hak kebebasan berfikirnya telah dinafikan sewaktu bangku sekolah. Setiap kali beliau menyatakan soalan-soalan pelik kepada ustaz ataupun guru agamanya, maka dijawab, "Kamu diam, terima sahaja apa yang diajar oleh Islam tanpa bantahan." Maka terbiarlah beliau terpinga-pinga tanpa pencerahan.

                                Begitu juga lahirnya isme-isme yang semakin merapu dan merepek dalam dunia ini adalah kerana manusia melihat betapa sempitnya agama Islam ini. Walhal agama Islam itu luas ruang fekah dan syariatnya, cuma disempitkan tafsirannya oleh golongan-golongan agama yang sudah tidak betul-betul mengambil berat tentang kondisi jiwa, perasaan, psikologi, tekanan, bebanan dan kesukaran yang dihadapi oleh umat dalam mengamalkan syariat Islam. Sering tidak mahu keluar dan mengeluar orang daripada kongkongan dogma. Dari situ bangkitnya golongan-golongan liberal, sekular dan macam-macam lagi yang beraspirasikan kebebasan yang keterlaluan.

                                Gejala ini harus dirawat dengan cara hujah dan dalil yang dilakukan melalui secara akademik seperti forum, diskusi ataupun debat yang serius. Jika gejala ini hanya dirawat dengan cara mengharamkan buku, persatuan dan kumpulan mereka, itu akan menimbulkan gejala lain pula yakni kemunduran golongan agama dalam mentajdid dan mengislahkan kembali ajaran Islam yang sebenar. Mengapa saya mengatakan begini? Kerana pemikiran asing dan pelik pastinya tidak akan berhenti daripada bergerak dan muncul. Tindakan yang hanya mengharam itu ini hanya akan membuatkan pemikiran songsang ini makin rancak dan rencam kerana merasakan tiada hujah lain yang mampu melawannya kembali.

                                Tindakan haram sana sini juga menunjukkan golongan agama yang jumud ini terus-menerus mengurung diri dalam fikiran lama tanpa melakukan perubahan dan penilaian semula terhadap hukum-hukum agama yang berkemungkinan ada keluasan yang tidak diteroka lagi. Seharusnya golongan agama ataupun disebut golongan berautoriti bukan hanya tahu keluar fatwa "Haram, syirik, bidaah" semata, peranan mereka malah lebih besar. Mereka harus mendidik masyarakat bagaimana untuk berfikir dan menilai akan sesuatu perkara selain memberi pencerahan tentang apakah yang telah diselewengkan dan apa perkara yang sebenarnya. Di samping itu, mengkaji dan melakukan pentafsiran semula terhadap hukum hakam agama mengikut konteks semasa.

                                Bukan maksud saya kita harus bersikap skeptik terhadap agama seperti golongan liberal. Cuma saya percaya kepada suatu teori bahawa dalam satu pandangan mempunyai 2 perkara, kebenaran dan kebatilan. Mustahil suatu pandangan itu akan benar sepenuhnya dan batil sepenuhnya. Walaupun pandangan liberal itu seluruhnya dilihat menyeleweng, tetapi mungkin ada setitik kebenaran yang melekat dan pada setitik kebenaran itulah rupanya dapat melengkapkan kekurangan yang kita dapati dilihat pada Islam bahkan dapat memperkembang lagi ilmu-ilmu lain yang belum diteroka dalam Islam. Ada kemungkinan-kemungkinan yang baik perlu lebih dipertimbangkan dengan teliti berbanding keburukan.

                                Apakah anda fikir disiplin Ilmu Kalam itu datang dengan sendirinya. Tidak. Ia datang kerana ingin menangani pemikiran dan falsafah Yunani yang masuk ke dalam masyarakat Islam. Dan anda dapat lihat bahawa secara tradisinya, ilmuwan Islam tidak mengharamkan kemasukan pemikiran dan ideologi asing masuk ke dalam masyarakat, tetapi apa yang dilakukan adalah dengan membalas balik dengan hujah dan membuat proses islamisasi. Begitulah wujudnya perdebatan Asyairah dengan Muktazilah, Al-Ghazzali dengan Ibn Rushd, Abu Bakr Al-Razi dengan Abu Hatim al-Razi. Bahkan kerana pemikiran-pemikiran asing inilah Islam mengalami kedinamikan. Tidak begitu? Fikirkan. Anda bebas berfikir.

Wallahu Ta'ala A'lam.

Nota Kaki : Sebenarnya saya kurang yakin dengan artikel ini bagi dipostkan. Banyak lagi hujah-hujah yang tidak diselitkan dalam artikel ini seperti sabda Rasulullah SAW kepada Muaz Bin Jabal kemudian saat ketika Rasulullah SAw meminta pandangan Abu Bakar dan Umar Al-Khattab mengenai tindakan terhadap tawanan perang. Dan lagi satu saya merasakan penghuraian hujah yang ada dalam artikel ini kurang memuaskan. Apa-apa pun ini hanya pandangan awal, lebih menjurus kepada persoalan "Wujudkan kebebasan berfikir dan bersuara dalam agama". InsyaAllah lepas ini saya akan bawakan pula persoalan rasional bagi idea-idea kebebasan yang saya melihat banyak pandangan-pandangan asatizah dan pelajar pengajian Islam menganggapnya suatu ancaman. Walhal idea kebebasan merupakan suatu perkara yang sebenarnya menjadi asas ajaran Islam. Bahkan Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup dan Badiuzzaman Said Nursi dalam Risalah Nur-nya juga ada menyebut tentang kebebasan. Mungkin di sini nanti kita akan mengupas persoalan ini dengan lebih mendalam dan halus lagi. 

Terakhir sekali, saya mengharapkan kritikan dan teguran daripada sesiapa mengenai artikel ini(Credit to Akmal Zulkarnain). Assalammualaikum.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"