Pengikut

Halaman

Selasa, 1 Mei 2012

Populariti bukan ukuran




Tidak sikit manusia hari ini yang tidak mencari perhatian. Rata-rata manusia gemar mencari populariti. Hinggakan ada anugerah lagi. Anugerah Bintang Paling Popular contohnya. Wah, hebat!

Sememangnya itu suatu lumrah manusia. Lumrah sebagai manusia biasa. Tiada siapa mahu dipandang lemah. Tiada siapa mahu dipandang hina. Semua manusia hanya ingin dipandang baik-baik sahaja. Bagi manusia yang berjiwa besar berkehendak dipandang sebagai yang terbaik.

Bagi saya tidak salah.
Memiliki keinginan untuk mencari perhatian mahupun populariti adalah tidak salah. Tidak menjadi suatu dosa sekalipun. Saya dan anda pun pasti mempunyai perasaan itu. Ingin sentiasa dihargai, dipuji, dipandang tinggi dan lain-lain. Perasaan itu bukan suatu yang boleh dihalang.

Tapi adakah patut?
Segelintir berbicara bahawa mencari populariti dan menjadi yang popular dan mendapat perhatian orang ramai dapat mengukur kejayaan seseorang.

Semakin orang itu dikagumi, dipuji dan menjadi buah bicara orang ramai bermaksud orang itu semakin berjaya. Disebaliknya jika popularitinya menurun maka kejayaannya juga sudah merosot. Bila berasa orang berfikir seperti ini, saya merenung seketika.

Begitukah saya patut mengukur kejayaan dan nilai saya? Dengan mengira berapa orang yang menjadi peminat dan pengikut saya. Meletakkan nilai dan harga diri saya dipandangan mata orang lain. Begitukah? Saya masih merenung.

Nilai diri pada usaha.
Andai begitu betapa ramai para Rasul yang gagal dalam gerak kerja dakwah mereka? Betapa ramai dalam kalangan Rasul, ahli keluarga mereka sendiri tidak menerima dakwah mereka. Ah, tidak terkira!

Hakikatnya tidak begitu. Setiap para nabi dan rasul yang telah diutus atas dunia ini adalah manusia yang berjaya. Manusia yang mulia dan berharga. Kerana Allah tidak menilai seseorang melalui amal tetapi melalui hati. Hati itu yang menjadi ukuran kejayaan.

Hati yang ikhlas tidak melihat pada hasil tetapi melihat pada keredhaan. Hati yang ikhlas tidak melihat pada pujian orang tetapi melihat pada janji-janji Allah. Hati yang ikhlas terserlah pada usaha yang istiqamah dan bersungguh-sungguh tidak kira dihargai mahupun tidak.

Manusia sangat rugi apabila meminta usahanya dihargai orang lain tetapi mereka sendiri tidak pernah hargai usaha yang mereka lakukan. Atas sebab itu ramai yang berkata "Tak guna aku bersusah payah untuk dia!"

"Jangan mengharap, manusia sememangnya tidak reti berterima kasih. Kerana itu biar diri tidak dihargai tetapi jangan biar diri jadi tidak berharga"

Jangan mengharap orang ramai mengiktiraf kamu sebagai pejuang, kamu sendiri perlu tahu dan faham adakah kamu ini pejuang atau tidak? Malang bagi orang yang hidup dalam kepura-puraan!


Wallahualam

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"