Pengikut

Halaman

Memaparkan catatan dengan label lumrah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label lumrah. Papar semua catatan

Khamis, 10 Julai 2014

Ritual Jiwa Tanpa Agama



Dalam usaha mendamaikan keresahan rasa yang menumbuk-numbuk jiwa, kebanyakan kita akan lari, mengasingkan diri daripada keramaian. Mencari ruang bersendiri dan memuhasabah diri. Tempat-tempat sunyi menjadi sasaran. Kita akan duduk tidak berbuat apa-apa. Semata melayan perasaan yang hiba, melayan fikiran yang mendesah. Pada ketika yang sama memandang alam terbentang, memandang langit terbuka. Memandang semua dengan penuh erti, memandang dengan mencari makna diri. Inilah masa manusia mula cuba mendekatkan diri pada hati. Menanyakan hati, “Panggilkan Tuhan buatku, aku perlukan kekuatan.”

Khalwat. Ini sunnah para nabi.

Tetapi aku kurang seperti itu kerana belum pernah dalam hidup aku untuk berasa cukup tertekan.

Pagi ini, dan pagi-pagi sebelum ini rutin aku sudah berubah. Tidak ada lagi waktu bersiap untuk ke kelas mahupun ke kuliah. Tidak ada lagi kesempatan untuk bertanya, “Kelas ada ke tidak?”. Tidak ada lagi mengomel, “Bila kelas hendak habis ini?” Semua itu sudah tidak ada. ‘Pelajar’, aku sudah tidak memegang gelar itu. Tidak lagi. Hanya tinggal sejarah. Dan mungkin tidak akan ada ‘mungkin’ untuk aku memegang gelar itu kemudian hari. Aku memilih untuk meninggalkannya.

Mendengar lagu, menyanyi dan ketawa, itu cara aku mendamaikan jiwa. Dan aku lakukannya secara menyendiri. Pada pagi yang matahari masih belum menampilkan diri demi menyimbahkan cahayanya pada alam, itulah rutin baru aku. Kala aku mendengar lagu, lirik dan kata-kata yang terdapat dalamnya bukanlah itu yang mempengaruhi perasaan aku, tetapi rentak muzik lagu tersebut. Rentak itulah yang membuatkan aku rasa sayu dan hiba, rentaklah yang membuatkan kadang aku ketawa, rentak juga membuatkan jiwa aku rancak bertenaga(macam muzik Naruto contohnya, muziknya sahaja!). Dalam semua keadaan, mendengar lagu sambil menyanyikannya buat aku bahagia seketika. Pengasingan diri yang sempurna. Seperti masuk ke dunia yang lain. Sebuah ritual tanpa agama, semata ritual yang mengisi lumrah kemanusiaan.

Bahkan sebenarnya, ritual ini telah aku tabiatkan sejak sekolah menengah. Pada ketika itu nasyid lebih menjadi pilihan. Iyalah, pengaruh persekitaran. Tetapi sekarang, sering yang meniti di bibir aku adalah nyanyian Spoon, Rindu Serindu Rindunya. Kau tahu, sampai sahaja sahabat aku jemu mendengarkannya. Haha. Bahagian kegemaran aku dalam lagu ini adalah ketika hendak naik kepada korus, “Mengapa terjadi, perpisahan ini…” Enak rasanya. Pabila kau menyanyi seperti diri sedang diselubungi tenaga entah dari mana. Menyegarkan dan memugar. Malah kala aku mengantuk dalam membuat sesuatu kerja, menyanyi menjadi terapi buat aku untuk aku menghilangkan kantuk itu. Ah!

Teringat pula, pada ketika diri sedang pulang menuju Kuala Lumpur selepas habis 3 hari bercuti di Pulau Tioman, seluruh penghuni di dalam kereta menjadi ‘gila’. Eh, tidak. Hanya dua orang. Aku dan kakak aku(bukan kakak sebenar tapi). Kala itu waktu malam. Kami tidak mendengar radio kerana lagu-lagu yang tersiar sangat membosankan. Kakak aku memasang lagu daripada komputer ribanya, seketika. Lama-kelamaan jemu menjengah, kami mula jadi tidak keruan. Suasana agak membosankan. Kami inginkan bising! Barukan rasa ada aura untuk meneruskan perjalanan yang jauh itu. Entah macammana, kakak aku ini, bila dia dengar lagu yang dia suka, dia akan men’jerit’. Haha. Maksudnya bernyanyi dengan sepenuh hati. Maka aku mencadangkan lagu. Kami berdua sahaja menyanyi dan menjerit.

Dinamik - Antara Gadis
Dinamik – Biar putih tulangZamani – Syair Si Pari-Pari.(lagu ini sedap gila bak hang!)

Ah, Seronok gila rasa! Haha

Aku bukan tahu benar erti muzik, lagu dan nyanyian, tetapi aku sangat seronok melakukan semua itu. Sangat memberikan aku jiwa. Mendengar lagu dan menyanyikannya sendirian adalah khalwat aku. Mendengar lagu dan menyanyikannya beramai-ramai adalah kebersamaan yang sangat indah aku kira. Cubalah. Cuba sekali kau nyanyi sesuatu lagu bersama-sama sahabat kau yang lain. Seronok bukan. Ya, seronok! Itulah dia ritual jiwa tanpa agama yang mengesankan.

Tidak kisah kalau kau lebih gemar lagu nasyid, maka dengarkanlah nasyid. Kalau lagu orang putih, dengarkanlah. Lagu semata irama, abaikan lirik kecuali penuh sekali dengan lucah dan kesat perkataan. Seorang pak cik aku, yang aku panggil dia Pak Su, yang merupakan seorang yang sangat menjaga amal zikir dan pendinding diri, pernah menasihati bahawa dengarkanlah lagu apapun, selagi tidak melalaikan kau daripada Tuhan, maka tiada yang salah. Ya, seperti dia yang kadang datang ke rumah aku membawa cakera padat lagu Chris Brown dan Akon, tetapi amalan zikirnya tidak pernah tinggal. Kalau belum selesai, maka dia selesaikan dulu. Lagu nasyid dia pun cukup banyak.

Irama lagu telah menjadi sebahagian hidup aku. Berpisah tiada kata orang. Haha.Mungkin aku sebegini jadinya adalah kerana aku mempunyai darah seorang yang berjiwa seni. Itulah Ayah aku. Mungkin juga kerana aku mempunyai darah seorang yang berjiwa lembut dan bersuara sedap. Itulah Ibu aku. Maka jiwa aku menjadi lembut dengan setiap alunan bunyi. Pada bunyi rengekan bayi, pada bunyi desiran dedaunan, kicauan burung, dan pada sorakan ombak, semua itu sangat mendamaikan. Ini kebahagiaan aku. Meski tidaklah utuh tetapi ia tetap sebahagian daripada kebahagiaan. Nikmat yang tidak dapat digambar. Terima kasih Tuhan. 

Sabtu, 5 April 2014

Catatan di Khairiyah : Prologue


Catatan Khairiyah - Mereka, adik-adik ini tidak tahu apa erti menjadi pendiam. Tiap-tiap masa, ada sahaja karenah yang dipamerkan. Bermacam ragam. Penat badan ini hendak melayan. Selalu akan aku biarkan sahaja. Kau hendak panjat dinding ke, bergayut ke, berjalan tidak pakai selipar ke, bermain lari-lari di dalam surau ke, aku hanya tengokkan sahaja. Kalau ditegur pun, diamnya sebentar, nanti dibuat semula. Pening kepala.

Namun, melihat gelak ketawa dan senyum riang mereka, aku sedar, memang mereka sukar dengar kata, tidak mudah patuh pada suruhan dan larangan serta pelbagai lagi. Oleh itu kita akan kata mereka ini nakal, tetapi istilah yang tepat adalah, mereka ini kanak-kanak. Adik-adik hanya menjadi diri mereka sendiri yang mempunyai kecenderungan masing-masing. Itulah cara mereka mencari kebahagiaan. Daripada mengawal apa yang mereka perbuatkan, aku lebih suka membiarkan sahaja sambil memerhati. Tangis mereka, senyum mereka, marah mereka, monyok mereka, ketawa mereka dan apa sahaja emosi yang terbias pada riak wajah adik-adik ini hanya membuatkan aku tersenyum.

Sambil berkata-kata dalam hati, "This is their true nature."

Khamis, 24 Januari 2013

Jalan Yang Perlu Ditempuh



kelemahan dan ketidakupayaan diri dalam menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit hidup tidak seharusnya menjadi sebab untuk meranapkan tangga-tangga harapan bagi mengecap masa depan yang lebih cerah. Lemah tidak menandakan kita perlu putus asa walaupun berasa diri sudah kehilangan makna bagi meneruskan hidup anugerah Allah ini. Sekiranya persepsi begitu diprogramkan dalam benak, senang sekali cara penyelesaiannya. Tiadalah wujud istilah ‘berjuang’ dan ‘jihad’ dalam kamus kehidupan seseorang muslim.

Seandainya seseorang itu mempunyai kematangan dalam bereaksi dengan kesulitan hidup ini, ‘lemah’ akan diberikan kesimpulan agar ‘perlu usaha lebih gigih’ dan bukan pula akan ditafsir sebagai ‘gagal’, bahkan seharusnya ditafsir sebagai ‘belum berjaya’. Jika kita perhatikan betul-betul, bukankah istilah ‘gagal’ dan ‘belum berjaya’ terdapat perbezaan maksud yang ketara? Kata hukama’, “Kegagalan sebenar bukan ketika kau jatuh dan tewas dalam suatu usaha , tetapi ketika kau sudah berputus asa untuk bangkit kembali.” Seringkali emosi kesedihan melupakan kita terhadap firman Allah ini, “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.”

Meletakkan daya keterbasan dalam usaha dan kegigihan merupakan satu tindakan yang menyebabkan kita melihat ketidakupayaan diri itu sebagai suatu kelemahan hakiki walhal tidak. Meskipun kita tidak menafikan antara bentuk kelemahan manusia  adalah mempunyai had dan batas daya upaya, tetapi adakah kita tahu dimana had dan batas itu? Ternyata tidak. Kegagalan dan kelemahan dalam perkara-perkara yang seolah-olah sulit untuk diselesaikan tidak menandakan kita sudah sampai kepada had kita, sebaliknya memberitahu kita dimana kesilapan yang perlu diperbaiki dan diberi tambah baik untuk melepasi had sebelumnya. Daripada situ kita akan melihat “Kesempurnaan manusia berselindung disebalik ketidaksempurnaannya.” Kerana kesedaran terhadap sifat tidak sempurna inilah mendorong kita untuk sentiasa menuju sempurna.

Cuba kita mengkaji latar kehidupan orang-orang yang berjaya, mereka lebih banyak menghadapi kegagalan berbanding orang-orang yang gagal! Ini bukan sesuatu yang ironi, ini sesuatu yang masuk akal dan rasional. Hal ini kerana mereka telah mengumpulkan tenaga dan kekuatan melalui pengalaman yang banyak dan mengkaji serta belajar cara untuk mengatasi titik-titik kelemahan tersebut dengan teliti bagi terus mencari jalan untuk sampai ke puncak. Hal ini tidak lain dan tidak bukan memerlukan azam dan semangat tanpa padam agar langkah-langkah menuju puncak itu sentiasa konsisten.

Fikirkan pengajaran ini baik-baik. Kegagalan adalah berpunca daripada kelemahan diri dalam mengendalikan sesuatu perkara, walaupunbegitu kegagalan juga merupakan platform untuk kita mengatasi kelemahan diri tersebut. Kita tidak akan jumpa seseorang yang mencapai hidup senang tanpa pernah melalui sebarang kesulitan dan kegagalan. Bahkan kegagalanlah yang mengajar mereka erti berdikari dan matang.

Jika kita menyelak kembali satu per satu lembaran sejarah sekalipun, manusia-manusia genius yang pernah dan masih wujud di atas muka bumi ini tidak  semua yang mengecap hidup senang dengan cara yang senang. Sebaliknya ada  hidup mereka lebih sulit untuk mencapai kesenangan. Sufiyyah yang dahulu terkenal kerna geniusnya dia, bila dihantar belajar ke luar negara menjadi pelacur. Seorang pemuda yang sangat genius dalam matematik waktu kecilnya, apabila dijejaki kembali kini hanya bekerja sebagai penebar roti canai. Genius tidak memberi kelebihan pun seandainya diri tidak bijak untuk bersikap reflektif secara kreatif dan kritis terhadap masalah dunia yang semakin mencabar. Tiada apa yang mampu menjadikan kita istimewa melainkan usaha dan kegigihan. Allah itu adil. Semua manusia adalah sama.

“Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berbuat usaha untuk mengubah diri mereka sendiri” Ar-Ra’ad 13 : 11

 “Bulat tidak datang bergolek, pipih tidak datang melayang”, pepatah ini jelas mengatakan bahawa beginilah lumrah dunia yang harus ditempuh. Segalanya bergantung pada pilihan diri dan usaha kita sendiri. Tiada rezeki dan kejayaan yang datang secara tiba-tiba. Usaha pula perlu kepada keazaman dan tekad yang kuat. Paling penting keyakinan dan kepercayaan kita kepada rahmat Allah yang sentiasa menaungi! Allahlah yang beri senang dan susah. Justeru usaha yang gigih harus tidak mengetepikan doa dan tawakal kepada Allah. Kejayaan juga bukan akan kekal, pasti ia akan silih berganti dengan kegagalan. Dan akhir sekali, kita pilih hendak ke Syurga atau Neraka berdasarkan apa yang telah kita usahakan. Kita yang melukis takdir akhir kita.

Tidaklah Allah menghidangkan semua ini untuk main-main namun Dia ingin menguji siapakah di antara hamba-hambaNya ini yang betul-betul ikhlas mengabdikan diri kepadaNya. Sekiranya Allah ingin menjadikan seluruh manusia ini hidup selesa tanpa kesusahan, memperoleh iman tanpa kepayahan dan mujahadah, hal itu tidaklah susah bagi Allah. Cuma nanti tiadalah beza manusia dan malaikat. Sedangkan usaha, kegigihan dan mujahadah inilah yang membuatkan kita lebih mulia daripada malaikat kerana kita mencari iman melalui ilmu dan ketekunan diri dengan niat yang benar. Ya. Hanya niat yang benar(kerana Allah)  sahaja akan membuatkan manusia tidak putus asa bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Kerna pekerjaan dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah, bukan demi kepuasan diri yang sebenarnya cintakan dunia.

Wallahu Ta’ala Alam~

Rabu, 22 Ogos 2012

Kebahagian itu dari dalam hati


Love is...by ~Bunnis


Takdir Allah bukan untuk di duga, tetapi dicipta. Bukankah Hilal Asyraf ada berkata, “Takdir itu hujung usaha!” Memang ada benarnya. Biarpun kita tidak boleh melawan takdir, bukan bermaksud takdir tidak boleh diubah. Yang dilihat bukan existence tetapi essence. Pasrah dan redha akan sesuatu harus diolah dengan baik yakni dengan ikhlas bukan terpaksa. Bertunjangkan nilai Islam, “Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya”  kita dapat mencungkil hikmah dan kebaikan di sebalik sesuatu peristiwa. Bergantung di mana kefahaman kita untuk meletakkan kasih-Nya terhadap hamba.

                Seharusnya kita tahu, medium fikir mempunyai ruang yang terhad dalam menggapai sesuatu maksud dan erti segala rahsia yang melingkari kehidupan manusia. Walaupun kini keagungan ilmiah dan intelektual manusia dikatakan menjadi asas pembinaan tamadun yang kita gapai sekarang. Namun kita dapat lihat terdapat banyak manusia yang meluahkan rasa kekosongan hati dan kehausan rohani dalam kejayaan yang mereka kecapi. Dengan ini terbukti kemewahan dan kekayaan tidak memberi apa-apa manfaat apa-apa pun. Selama ini minda dan persepsi kita telah diprogram dengan baik di mana kita beranggapan kebahagiaan itu adalah dengan harta benda, kasih sayang sesama manusia, pangkat, populariti dan pelbagai lagi. Hakikatnya tidak.

                Kebahagiaan mahupun kesedihan wujud atas faktor dalaman bukan luaran. Iaitu dipengaruhi dengan bagaimana cara kita berfikir dan mengolah bentuk kebahagiaan yang kita inginkan. Lihat orang miskin, kebahagiaan bagi mereka adalah kekayaan. Buat mereka yang tinggal dalam keadaan sepi mengharapkan teman dan sahabat untuk rasa bahagia. Setiap golongan manusia mempunyai definisi kebahagiaan dan kesedihan yang berbeza-beza. Dan ketahuilah dalam Islam mempunyai satu definisi kebahagiaan yang terjamin keberadaannya setiap waktu, tempat dan ketika. Definisi ini dilandasi dengan elemen keislaman yang jitu dan universal. Ajaran daripada sunnah, para sahabat dan tabiin. Tidak mampu diteroka oleh akal, tetapi hanya mampu dikuasai oleh hati. Itulah kebahagiaan dicintai Allah dan RasulNya.

                Mengapa dicintai bukan mencintai? Saya tanya anda, tatkala Allah membenci kita adakah kita mampu untuk beribadah kepada Allah? Tidak! Kerana segala amal dan ibadah yang kita lakukan kepada Dia adalah atas rahmat, kurnia dan cintaNya terhadap diri kita bukan atas kudrat kita sendiri. Ada satu riwayat kisah yang menyatakan sedemikian.  Yakni  ada seorang tabiin terbangun pada waktu malam dan melihat hambanya khusyuk beribadah dan bermunajat kepada Allah. Beliau terdengar hambanya berkata, “Ya Allah, demi cintaMu padaku…” lalu beliau menegurnya, “Seharusnya engkau mengatakan demi cintaku kepadaMu…” Tetapi hamba itu menjawab kembali, “Jika Allah tidak mencintaiku, mengapa dia membangunkanku untuk beribadah kepadaNya dan membiarkan kau tidur”. Wah!

                Apabila seseorang hamba dicintai Allah maka dia akan diberi kefahaman agama oleh Allah. Maka itu sudah cukup bagi mereka untuk mendepani kegilaan dunia ini yang sering menduga dan menguji keteguhan iman. Dalam hidup mereka susah senang tidak menjadi isu, tetapi redha Allah. Di situ lah kebahagiaan akan tercipta. Takdir yang menimpa akan diolah dengan seni jiwa kehambaan. Yang tampak indah akan diawasi agar tidak hanyut dan leka. Yang tampak berbentuk musibah dihiasi dengan kesabaran. Kesabaran itu suatu kurniaan yang paling besar untuk orang mukmin. Satu hadis qudsi berbunyi, “Timpakanlah kepada hambaKu musibah kerana aku ingin mendengar mereka merintih kepadaKu”

                Wajarlah bila kita berkata, “Kebahagiaan itu bukan dicari tetapi diraih!”                Sesungguhnya terdapat seribu satu kebahagiaan lagi di sisi kita yang kita tidak sedar. Mereka tersembunyi dalam sudut hikmah dan ibrah. Hanya dapat disingkap oleh tingkah laku manusia Ulul Albab dan orang-orang mukmin. Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyebut, “Bahawa orang-orang beriman itu tidaklah berasa takut dan bersedih hati.”  Kerana mereka insan yang mengenal Allah dan seluruh sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya. Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan tidak menduga-duga takdirNya dengan suatu kesan dan hasil yang buruk.

Tidak kita sedar Islam itu indah. Seharusnya kita masuki Islam secara menyeluruh bukan secara berjuzu’. Maka dengan itu kita akan mampu keluar daripada tipu daya nafsu dan syaitan. Bebas daripada segala harapan palsu dan berjaya menuju hakikat hidup yang menempatkan kebahagiaan sejati. Yakni redha ilahi. Kerana itu sekarang kita harus mengorak usaha untuk mencipta takdir masuk ke SyurgaNya. Bersungguh-sungguhlah kita dan jangan lupa untuk bertawakal kepadaNya. Wallahualam. :)

Selasa, 31 Januari 2012

Hakikat Kehidupan : Manusia tidak pernah mati

Kematian adalah suatu kehilangan. Kehilangan itu amat memeritkan jiwa. Saya pernah rasa. Pak Cik saya, lagi setengah bulan cukuplah setahun sudah pemergian dia. Meninggal dunia dalam usia yang begitu muda, 24 tahun. Siapa sangka? Takdir Allah.

Dan bila seseorang itu sudah tiada, automatik memori bersamanya akan berputar tanpa dipinta. Kerinduan mula menjalar disegenap ruang kenangan yang tercipta. Barukan terasa betapa si dia begitu berharga. Namun tatkala dia masih bernyawa, kabur mata kita untuk melihat peranan dia dalam hidup kita.

Tetapi

Hakikatnya kehilangan dia hanya di dunia

Pak Su cakap dalam mimpi sahabat dia “Aku belum mati.” ^-^

----------

Seorang sahabat sms saya langsung dari Darul Quran. 8.00PM

“Salam. Ada member ana kehilangan orang terdekat Dia ngah sedey... Ada apa-apa(dikatakan) untuk dia.”

Sahabat saya suka bertanya dan meminta madah nasihat dari saya. Hatta untuk dia mahupun member dia yang lain. Kadang-kadang segan sheikh, kalau diikutkan dia lebih hebat dari saya dari segi ilmu agama ataupun dunia. Dan dia satu-satunya pelajar dari sekolah kami yang berjaya masuk DQ.

Saya kurang berani untuk membalas sms dia. Sebab kita memang boleh beri kata nasihat pelbagai tapi kita bukan berada di tempat member tuh. Kita tidak tahu perit yang dia rasa. Maka saya membalas begini…

“Sesungguhnya kita milik Allah, dan kepada dia kita kembali. Sampaikan takziah ana…Tabahkan hati… Kita kehilangan mereka hanya di dunia, hakikatnya mereka tidak pernah mati. Nabi SAW bersabda “Sesungguhnya kamu akan bersama insan yang kamu sayang di Syurga! ^-^”

Itulah hakikatnya. Manusia tidak pernah mati tapi berpindah alam. Jasad ditinggalkan tetapi roh berkekalan tiada akhiran. Yang memeritkan adalah jarak jauh yang memisahkan. Menimbulkan aura kerinduan.

Ilham perkataan dan fikiran ini datang daripada Allah. Saya memang yakin manusia tidak pernah mati. Yang mati adalah jasad. Jasad milik dunia yang fana, roh milik Akhirat yang kekal. Kita sememangnya warganegara Akhirat bermusafir di negeri dunia bagi diuji keimanan.

Jadi apabila kita kehilangan seseorang, jangan terlalu bersedih dangan meratapi pemergiannya. Tidak salah untuk menangis. Kerana tangisan itu tanda kasih sayang, dan Allah merahmati orang yang berkasih sayang.

Seandainya kita betul-betul mencintai saudara kita, maka doalah banyak-banyak untuk mereka yang telah pergi mahupun yang masih ada di dunia. Agar nanti ikatan ini diizinkan Allah dapat berkekalan hingga ke Syurga! Pabila kita bijak menyandarkan Cinta Lumrah ini kepada Allah bagi mendapat rahmat-Nya. Insyaallah bahagia dunia Akhirat.

Wallahualam

Ahad, 1 Mei 2011

Kehidupan ini


Aku seperti mampu rasakan dengan perubahan iklim kehidupan yang sedang mengalami proses kemarau ini. Gelojak jiwa mereka yang kecewa, sedih dan derita terpancar melalui riak wajah yang sememang tidak mampu untuk disembunyikan akibat bahang masalah dan beban yang tidak mampu ditahan. Terasa rindu pula dengan kesenangan dan keselesaan yang dahulu sering melayani diri tika bunga hatinya mekar.

Sememangnya lumrah dunia ini begitu, segalanya berputar dan berpusing ibarat roda. Musimnya sentiasa silih berganti. Angin pun bukan sentiasa bertiup ke utara, adakalanya akan bertukar arah ke Selatan,Barat mahupun timur. Apatah lagi manusia yang mempunyai iman yang rapuh, pancaroba dunia ini lebih bijak memanipulasi perasaan kita berbanding kita sendiri yang diberi akal ini.

Sahabat,
Manakan hendak dinikmati kesenangan kalau tiada ujian dan cabaran. Kebahagiaan itu menjadi fitrah manusia untuk sentiasa dan cuba mendapatkannya, tapi harga yang perlu dibayar adalah mahal. Ibarat sirah perjuangan Rasulullah S.A.W. Bukan senang untuk kita merasai nikmat iman dan islam ini kalau tanpa Rasulullah S.A.W. berusaha gigih hingga sanggup berkorban jiwa raganya. Maka mengapa kita tidak mengambil iktibar daripadanya untuk diaplikasikan sepanjang hidup kita ?

Syukur
Kita sering mengeluh dan mengomel. Bosan mendepani masalah hidup yang tiada pengakhiran. Jemu dengan usaha yang awalnya bertunjangkan segunung harapan namun berputus asa dengan kegigihan yang tidak hasilan. Akhirnya kita duduk termanggu dipinggiran merenung hari-hari mendatang yang akan dijalani dengan kemurungan.

“Nikmat mana lagikah yang hendak kau dustakan” Surah Ar-Rahman

Kita banyak mengeluh dengan ujian yang Allah bagi tapi tak pernah syukur dengan nikmat Allah!

Mengapa perlu berasa lemah dan kecewa ? Tidak cukupkah segala nikmat yang Allah bagi di dunia ini hinggakan masalah yang sangat kecil pun kita berat hendak menanggung. Ya! Masalah yang kita hadapi sangat-sangatlah kecil kalau hendak dibandingkan dengan kurniaan Allah yang kita dapat dari kecil hingga sekarang. Namun manusia ini tidak sedar dan kurang bersyukur.

“Dan kami menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagi kamu. Namun sangat sedikit daripada kamu yang bersyukur” Surah As-Sajadah

Tahukah kita faktor yang menjatuhkan dan memburukkan pandangan kita terhadap hidup adalah kerana kurangnya rasa syukur ?

Adil
Jangan salahkan sesiapa walaupun daripada sudut lahiriahnya memang benar ada orang yang salah. Tapi bukankah segala-segalanya ketentuan Allah. Rencana hidup ini Allah dah tentukan. Malah selagi kita beriman dengan ayat-ayat Allah kita tidak akan berasa gusar,lesu atau amarah dengan apa yang berlaku.

“Dan Allah tidaklah berkehendak menzalimi (sesiapa pun) di atas alam ini” Surah An-Nisa’

Tetapi kita yang menzalimi diri kita sendiri ! Sesetengah tahu bahawa ujian ini daripada Allah yang tinggi dengan sifat rahmat-Nya tapi tetap menyalahkan keadaan atau manusia lain. Mengapa perlu begitu ?
Jelaslah hati kita masih belum cukup sempurna mengenal Allah dan kehidupan yang diciptakan oleh-Nya untuk kita. Kita yang hendak menyakitkan hati kita mengapa ?

Dan kadang-kala kita yang tidak adil kerana salah meletakkan perasaan atas sesuatu perkara. Itu juga membuatkan kita rasa lemah kerana hakikatnya kita yang tidak faham keadaan diri kita sendiri.

Di manakah kita letakkan perasaan gembira ? Terhadap hiburan yang melalaikan… bukankah patut berasa sedih kerana lupa kepada Allah!

Di manakah kita letakkan perasaan sedih ? Terhadap masalah dan ujian yang menimpa… bukankah patut ada rasa secebis kegembiraan di hati kita kerana masih berasa Allah masih sayangkan kita dan tidak biar kita hanyut dalam dunia yang dusta.

Di manakah kita letakkan perasaan sayang ? Terhadap harta, manusia, dan segala yang kita miliki dan kita tidak sanggup kehilangannya… bukankah kita patut sayang kepada amal ibadat kita yang akan menjadi harta berharga kita di akhirat sana.


Muhasabahlah diri kita.
"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"