Pengikut

Halaman

Ahad, 10 Ogos 2014

Erti pada sebuah 'Tahu'

Sudah kian lama, dapat dirasa bahawa meski selautan 'tahu' kita redah, tetap tidak dapat memberi erti dan nilai pada maksudnya ilmu. Tidak dapat membawa kita pada apa-apa tuju. Semakin terhimpun, semakin diri terlemas dalam mencari nafas kehidupan. Kepuasan yang didamba hanya tinggal menjadi angan-angan. Kerana sebanyak mana 'tahu' pun takkan terpenuhkan jiwa seluas tanpa batas ini. Jadi harus apa lagi diri mencari?

Pada ketika 'tahu' terlalu banyak terhimpun, manusia akan makin sukar memilih. Dan pada ketika 'tahu' terlalu banyak terkumpul, ketelitian manusia akan makin tumpul. Banyak 'tahu', tidak mempunyai erti apa-apa kalau tidak dapat dikuasai sepenuhnya satu pun. Sekadar 'tahu' tidak mempunyai apa-apa nilai tanpa diberi penghayatan dan kefahaman yang jitu. Dengan kefahaman yang jitu, barukan ia akan capai pada tahap yang digelar ilmu! Yang wujud padanya itu nafas kehidupan. Di mana 'tahu' itu akan dapat membawa manusia pada hal yng sepatutnya.

Tidak seperti ramai manusia hari ini, meski banyak 'tahu' tetapi seperti tidak tahu apa-apa. Mendamba dan menambah 'tahu', hanya untuk mencari perdebatan, nama dan kemasyuran. Sedang pada seorang pak cik tua pun tahu erti 'tahu'. Pada pengetahuannya dalam bercucuk tanam dan menternak binatang, semua itu adalah untuk menyalurkan kasih sayang kepada keluarga, sanak-saudara, jiran tetangga dan masyarakat sekelilingnya. Itulah nilainya. Kita tidak akan dapat makan nasi dan daging tanpa titik peluh petani dan penternak.

Tidak perlu ghairah mencari banyak 'tahu' tetapi carilah erti pada sebuah 'tahu'. Daripada situ barukan ketemu nafas kehidupan yang membuatkan kita lega dan puas sejenak.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"