Pengikut

Halaman

Rabu, 2 Julai 2014

Tiada apa yang mampu dengan percaya semata

Perkara yang melapangkan dada sempit manusia, bagi aku, adalah apabila sesuatu rahsia dapat terungkai dan terbentang nyata di hadapan mata. Di mana, dapat kita belek satu-satu daripadanya, kemudian menemukanlah kita kepada jawapan terhadap setiap kesulitan yang membelenggu hidup. Kala itu tiada lagi persoalan dan pertanyaan yang rumit, segala telah terlerai. Tidak perlu lagi manusia menduga-duga kerana apa sesuatu itu terjadi. Maka fikiran pun menjadi tenang dan tenteram.

Pada mana-mana insan yang ditemui pada celahan dunia ini, benarnya, resah yang mendekam dalam diri mereka itu wujud akibat ketidaktahuan. Hidup ini penuh misteri dan manusia tidak mampu melepasi misteri tersebut kerana akalnya dibatasi dimensi ruang dan masa, hingga sering buat dia menduga-duga apa yang terjadi di belahan dunia sana dan pada waktu yang mendatang. Manusia mampu merancang, tetapi gerak dunia itu tiada siapa yang mampu jangka, sampai banyak kali menentang perancangan yang dibuat.

Akibat daripada ketidaktahuan itu juga, manusia mudah berasa lemah, jatuh tersungkur berputus asa. Serasa tiada ertinya berusaha, kerana jatuhnya berkali jua, tiada penghujung yang pasti. Mengulang-ngulang pada kesilapan yang sama, sedang azam perubahan yang dulu dikendung erat, sudah terasa terlepas kerana berasa seolah tiada hasil yang membuah. Cermat sungguh dulu dia memegang percaya, bahawa setiap kejadian ada hikmahnya, tetapi pada ketika situasi benar-benar menekan jiwa, semakin terlucut percaya itu dari genggaman.

Manusia sentiasa teruji, dan ujian itu hanya berlaku kerana ketidaktahuan manusia. Kala manusia serba tahu semua perkara, tiada wujud akan ujian itu. Oleh itu ujian wujud bersama misteri. Suatu misteri pada musibah, misteri pada bencana dan huru-hara, pada wabak penyakit berleluasa, itu yang mendesah fikiran manusia. Memukul jiwa hingga terlahir badai gelora. Mereka tidak ketemu apa yang disebut sebagai pengajaran dalam kejadian yang menimpa. Mereka hanya tahu adanya pengajaran itu, namun tidak tahu apakah ia. Sering perkara itu yang membuatkan azam mereka terlepas dan percaya mereka terlucut.

Ini kerana kepercayaan mereka terbiar kosong tanpa pengisian. Tuhan memberitahu mereka adanya hikmah pada setiap peristiwa, dan manusia percaya akan adanya hikmah itu. Kemudian Tuhan mengajarkan mereka bagaimana hikmah itu dapat diambil pengajaran dengan membuatkan peristiwa, tetapi manusia hanya tahu adanya pengajaran itu walhal tidak tahu bagaimana untuk mengambilnya. Ini yang cacat pada kepercayaan manusia. Untuk percaya semata, kepercayaan kita itu akan luntur. Percaya harus diiringi dengan belajar. Kita perlu bijak menafsirkan kejadian yang berlaku dan cerdik untuk menciptakan pengajaran buat diri sendiri.

Perkara ini sama sahaja dengan rezeki. Kita percaya rezeki itu datang daripada Tuhan, namun kita tidak menunggu sahaja rezeki itu turun daripada langit. Untuk rezeki itu sampai kepada diri, usaha menjadi syarat. Dalam peristiwa dan musibah yang menimpa, hikmah yang Tuhan hendak ajarkan kepada manusia, bukan dengan menampilkan keajaiban mahupun menurunkan malaikat untuk mensyarahkannya kepada kita, tetapi kita sendiri yang perlu usaha belajar daripada. Berkali sudah dipesan dalam kalam-Nya,

"Tidakkah engkau berfikir?"

"Ambillah iktibar wahai Ulil Absar(Orang yang berpandangan jauh)"

Inilah erti ujian. Ujian mengajak kita merenung dan berfikir sejenak akan maksud dan makna diri serta tujuan seluruh ciptaan. Tiada dalam hidup ini yang disebut 'malang' mahupun 'bertuah'. Itu semua istilah yang lahir akibat nilaian duniawi dan bernada bahawa hidup seseorang itu ditentukan nasib, bukan takdir dan usaha. Sedangkan hal sebegitu seolah ingin mendakwa Tuhan sedang bersikap tidak adil pada manusia. Walhal sudah Tuhan jelaskan melalui perantaraan utusan-Nya, kemuliaan dan darjat yang dikurniakan terhadap seseorang manusia bukan ditentukan oleh apa yang menimpa diri, tetapi reaksi manusia itu sendiri yang menentukan semua itu.

Apakah ia sabar? Apakah ia bersyukur? Apakah ia masih lagi bersangka baik pada Tuhan? Apakah ada timbul dalam dirinya? Apakah dia merasakan Tuhan masih menyayangi dirinya? Itu dia. Kemuliaan dan darjat dirimu, kau yang tentukan dengan izin Tuhanmu. Dan semua ini memerlukan pertimbangan akal dan kerendahan hati yang tulus suci dan bersih. Semuanya bermula daripada diri. Kerana itu, adalah sia-sia untuk dalam hidup ini kita mencari bahagia, kerana bahagia tiada di luar ini. Kita yang perlu belajar bagaimana untuk hidup bahagia. Hendak cari bahagia, carilah di dalam diri itu. Yakni pada cara fikiran, pada cara berperasaan. Begitulah.

1 ulasan:

Raden Qurratu 'Aini berkata...

apa-apa pun back to Allah, arif :)

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"