Pengikut

Halaman

Khamis, 10 Julai 2014

Ritual Jiwa Tanpa Agama



Dalam usaha mendamaikan keresahan rasa yang menumbuk-numbuk jiwa, kebanyakan kita akan lari, mengasingkan diri daripada keramaian. Mencari ruang bersendiri dan memuhasabah diri. Tempat-tempat sunyi menjadi sasaran. Kita akan duduk tidak berbuat apa-apa. Semata melayan perasaan yang hiba, melayan fikiran yang mendesah. Pada ketika yang sama memandang alam terbentang, memandang langit terbuka. Memandang semua dengan penuh erti, memandang dengan mencari makna diri. Inilah masa manusia mula cuba mendekatkan diri pada hati. Menanyakan hati, “Panggilkan Tuhan buatku, aku perlukan kekuatan.”

Khalwat. Ini sunnah para nabi.

Tetapi aku kurang seperti itu kerana belum pernah dalam hidup aku untuk berasa cukup tertekan.

Pagi ini, dan pagi-pagi sebelum ini rutin aku sudah berubah. Tidak ada lagi waktu bersiap untuk ke kelas mahupun ke kuliah. Tidak ada lagi kesempatan untuk bertanya, “Kelas ada ke tidak?”. Tidak ada lagi mengomel, “Bila kelas hendak habis ini?” Semua itu sudah tidak ada. ‘Pelajar’, aku sudah tidak memegang gelar itu. Tidak lagi. Hanya tinggal sejarah. Dan mungkin tidak akan ada ‘mungkin’ untuk aku memegang gelar itu kemudian hari. Aku memilih untuk meninggalkannya.

Mendengar lagu, menyanyi dan ketawa, itu cara aku mendamaikan jiwa. Dan aku lakukannya secara menyendiri. Pada pagi yang matahari masih belum menampilkan diri demi menyimbahkan cahayanya pada alam, itulah rutin baru aku. Kala aku mendengar lagu, lirik dan kata-kata yang terdapat dalamnya bukanlah itu yang mempengaruhi perasaan aku, tetapi rentak muzik lagu tersebut. Rentak itulah yang membuatkan aku rasa sayu dan hiba, rentaklah yang membuatkan kadang aku ketawa, rentak juga membuatkan jiwa aku rancak bertenaga(macam muzik Naruto contohnya, muziknya sahaja!). Dalam semua keadaan, mendengar lagu sambil menyanyikannya buat aku bahagia seketika. Pengasingan diri yang sempurna. Seperti masuk ke dunia yang lain. Sebuah ritual tanpa agama, semata ritual yang mengisi lumrah kemanusiaan.

Bahkan sebenarnya, ritual ini telah aku tabiatkan sejak sekolah menengah. Pada ketika itu nasyid lebih menjadi pilihan. Iyalah, pengaruh persekitaran. Tetapi sekarang, sering yang meniti di bibir aku adalah nyanyian Spoon, Rindu Serindu Rindunya. Kau tahu, sampai sahaja sahabat aku jemu mendengarkannya. Haha. Bahagian kegemaran aku dalam lagu ini adalah ketika hendak naik kepada korus, “Mengapa terjadi, perpisahan ini…” Enak rasanya. Pabila kau menyanyi seperti diri sedang diselubungi tenaga entah dari mana. Menyegarkan dan memugar. Malah kala aku mengantuk dalam membuat sesuatu kerja, menyanyi menjadi terapi buat aku untuk aku menghilangkan kantuk itu. Ah!

Teringat pula, pada ketika diri sedang pulang menuju Kuala Lumpur selepas habis 3 hari bercuti di Pulau Tioman, seluruh penghuni di dalam kereta menjadi ‘gila’. Eh, tidak. Hanya dua orang. Aku dan kakak aku(bukan kakak sebenar tapi). Kala itu waktu malam. Kami tidak mendengar radio kerana lagu-lagu yang tersiar sangat membosankan. Kakak aku memasang lagu daripada komputer ribanya, seketika. Lama-kelamaan jemu menjengah, kami mula jadi tidak keruan. Suasana agak membosankan. Kami inginkan bising! Barukan rasa ada aura untuk meneruskan perjalanan yang jauh itu. Entah macammana, kakak aku ini, bila dia dengar lagu yang dia suka, dia akan men’jerit’. Haha. Maksudnya bernyanyi dengan sepenuh hati. Maka aku mencadangkan lagu. Kami berdua sahaja menyanyi dan menjerit.

Dinamik - Antara Gadis
Dinamik – Biar putih tulangZamani – Syair Si Pari-Pari.(lagu ini sedap gila bak hang!)

Ah, Seronok gila rasa! Haha

Aku bukan tahu benar erti muzik, lagu dan nyanyian, tetapi aku sangat seronok melakukan semua itu. Sangat memberikan aku jiwa. Mendengar lagu dan menyanyikannya sendirian adalah khalwat aku. Mendengar lagu dan menyanyikannya beramai-ramai adalah kebersamaan yang sangat indah aku kira. Cubalah. Cuba sekali kau nyanyi sesuatu lagu bersama-sama sahabat kau yang lain. Seronok bukan. Ya, seronok! Itulah dia ritual jiwa tanpa agama yang mengesankan.

Tidak kisah kalau kau lebih gemar lagu nasyid, maka dengarkanlah nasyid. Kalau lagu orang putih, dengarkanlah. Lagu semata irama, abaikan lirik kecuali penuh sekali dengan lucah dan kesat perkataan. Seorang pak cik aku, yang aku panggil dia Pak Su, yang merupakan seorang yang sangat menjaga amal zikir dan pendinding diri, pernah menasihati bahawa dengarkanlah lagu apapun, selagi tidak melalaikan kau daripada Tuhan, maka tiada yang salah. Ya, seperti dia yang kadang datang ke rumah aku membawa cakera padat lagu Chris Brown dan Akon, tetapi amalan zikirnya tidak pernah tinggal. Kalau belum selesai, maka dia selesaikan dulu. Lagu nasyid dia pun cukup banyak.

Irama lagu telah menjadi sebahagian hidup aku. Berpisah tiada kata orang. Haha.Mungkin aku sebegini jadinya adalah kerana aku mempunyai darah seorang yang berjiwa seni. Itulah Ayah aku. Mungkin juga kerana aku mempunyai darah seorang yang berjiwa lembut dan bersuara sedap. Itulah Ibu aku. Maka jiwa aku menjadi lembut dengan setiap alunan bunyi. Pada bunyi rengekan bayi, pada bunyi desiran dedaunan, kicauan burung, dan pada sorakan ombak, semua itu sangat mendamaikan. Ini kebahagiaan aku. Meski tidaklah utuh tetapi ia tetap sebahagian daripada kebahagiaan. Nikmat yang tidak dapat digambar. Terima kasih Tuhan. 

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"