Pengikut

Halaman

Isnin, 21 April 2014

Catatan Khairiyah - Perempuan


Dalam soal mendidik, mengajar dan bidang-bidang yang seumpama, perempuan menjadi kaum yang mendominasi. Pergi ambil majalah-majalah sekolah yang anda punyai, guru semua rata-ratanya perempuan. Nisbah guru lelaki dengan guru perempuan disesebuah sekolah boleh dikatakan 1 : 10. Terlalu ketara perbezaannya. Melihat hal ini, aku terfikirkan sesuatu. Mengatakan pendidikan hari ini tidak mempunyai kasih sayang, tidaklah benar sepenuhnya. Kerana pabila pendidiknya seorang perempuan, pendidik itu seorang pengasih.

Aku perkatakan hal ini bukan sekadar omong kosong mahupun daripada khayalan diri, tetapi aku pernah merasainya. Aku tidak percaya seorang guru mengajar dengan upaya sekadar makan gaji. Tidak. Khususnya guru perempuan. Mereka mengajar kerana ingin mendidik anak bangsa menjadi berguna. Mereka para guru sangat mengambil berat terhadap nasib anak murid mereka. Tiada istilah 'biarkan' atau 'abaikan' bagi mereka. Namun sistem pendidikan yang tidak membenarkan hal ini. Sistem yang menyebabkan aliran kasih sayang ini tersekat. Sistem yang membantutkan usaha keprihatinan mereka.

Di Khairiyah, aku ditayangkan dengan ketabahan segolongan pendidik wanita, namun tidak bergelar guru secara profesional, telah mendidik anak-anak secara gigih dan tekun tanpa putus asa. Walaupun kelelahan bekerja seharian, dari pagi hingga ke petang, mereka tetap akan cuba datang mengajar di sini pada waktu. Bukan mudah. Mengajar itu sudah satu hal yang sukar kerana masih ramai yang masih belum tahu mengeja, membaca dan mengira. Ditambah pula dengan kesukaran untuk melayan karenah anak-anak ini yang pelbagai ragam. Malas, mengantuk, tidak berminat. Tetapi hati mereka ini tetap cekal dan masih tetap mampu bersabar walau air mata sering mengalir.

Mengapa mereka mampu bertahan. Kerana kecekalan seorang wanita adalah begitu ajaib. Kecekalan wanita mempunyai ciri-ciri kecekalan seorang ibu! Meskipun mereka dan anak-anak tiada pertalian darah. Sebagai seorang lelaki, aku mengakui bahawa aku mungkin kalah dalam hal ini. Kasih sayang seorang perempuan itu tiada tandingan buat kaum lelaki. Itulah hakikatnya.

Maka bergembiralah duhai kaum hawa. Andalah pemelihara kasih sayang di muka bumi Tuhan ini. Dan tugas anda bermula di rumah!



Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"