Pengikut

Halaman

Selasa, 15 April 2014

Catatan Khairiyah - Keprihatinan


Berhari, rumah ini tidak lekang dikunjung. Ditanyakan tujuan, bisiknya ingin menderma dan menyumbang. Si anak muda pula, yang masih penuh tenaga berkata, ingin buat aktiviti untuk anak-anak yatim di sini. Pastinya kehadiran mereka disambut dengan tangan terbuka, tujuan mereka sentiasa cuba dirai sedaya upaya. Hal baik tiada patut ditolak.

Namun aku sering tertanya-tanya, betapa ramai daripada kita suka melakukan kebajikan dengan batas 'sekadar'. Ya. Kita datang, sumbang sekali dan pergi, derma sekali dan pergi, buat aktiviti sekali dan pergi. Semuanya 'sekali dan pergi'. One-Off. Dengar kadar begini sahaja, kita sudah puas dan sudah berasa melakukan kebajikan. Patutkah begitu?

Perkara ini berlaku atas sebab satu hal, fikir kita terhadap diri kita sendiri lebih daripada fikir kita terhadap yang menerima kebajikan kita itu. Atau mungkin lebih tepat boleh dikatakan, kita ingin memberi tetapi dalam keadaan keselesaan kita tidak terganggu. Kita ingin memberi tetapi kurang sanggup untuk mendapat susah. Keprihatinan seperti ini bukan keprihatinan yang sesungguhnya. Keprihatinan juga tidak terserlah hanya dengan mulut yang pandai bicara tentang masalah masyarakat melalui bahasa falsafah dan ilmiah.

Keprihatinan, yang sejatinya, bagiku adalah kebersamaan.

Tiada ramai manusia yang sanggup menyumbang kebersamaan kepada anak-anak yatim ini. Hal ini kerana kebersamaan menuntut perkongsian dan pengorbanan. Susah dan senang, sedih dan gembira, segalanya akan menjadi satu. Tetapi masih ramai antara kita lebih sayang diri daripada sayang masyarakat sekeliling. Bersikap individualistik dan tamak. Kebahagiaan manusia seperti ini hanya meriah dalam kesendirian.

Meriahkah kebahagiaan begitu? Ya. Meriah tetapi sepi, kerana tiada teman yang datang meraikan.

Kebahagiaan itu datang dengan pemberian, pemberian yang sebenar itu lahir daripada keprihatinan, dan kesejatian sebuah sikap prihatin itu adalah kebersamaan. Begitulah. Maka rumusannya, kebahagiaan itu bermula dengan rasa ingin bersama. Menempuh onak duri bersama, meniti susah derita bersama, bergelak ketawa bersama, bergurau senda bersama. Semua cabaran hidup dilalui bersama. Maka kebahagiaan yang dikecap hasil daripada kembara nanti sungguh indah kerana penuh kebersamaan. Meriahnya tersambut.

Namun kita sangat takut untuk menjadi sebahagian daripada masyarakat kerana fikir akan tanggungjawab yang akan dipikul akan mengurangkan masa untuk kita melayan diri kita sendiri.

Hurm. Masih bertanya kepada diri aku sendiri, sudahkah aku memiliki sikap prihatin?

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"