Pengikut

Halaman

Selasa, 22 April 2014

Catatan Khairiyah - Anak-anak



Tertarik dengan petikan daripada sebuah buku, The Prophet, tulisan Kahlil Gibran. Petikan itu menyebut,

"Your children are not your children. They are the sons and daughters of Life's longing for itself. They come through you but not from you, And though they are with you yet they belong not to you."

Buku ini berharga RM15. Aku beli di KL Sentral bersama satu lagi buku, Tuesdays With Morrie. Kemudian aku jumpa teman, beli pula 3 buah buku daripada dia. Sehari aku sudah habis dekat RM100. Berbelanja lebih sebelum mendapat baucer buku. Ya, kami pelajar Darul Quran belum dapat lagi.

Petikan ini menarik perhatian aku. Petikan ini menjawab permintaan seorang ibu, "Speak to us of Children." Gaya penulisan ini lebih kurang sama dengan yang terdapat dalam buku Manuscript Found in Accra, Paulo Coelho. Seorang Wise Man yang menjawab segala persoalan masyarakatnya. Sebuah gaya penulisan yang bagi aku sangat menarik.

Petikan itu membawa aku pergi meneroka. Mencari maksudnya yang lebih mendalam. Hal apa yang ingin diperkatakan. Aku ingin tahu.

Anak-anak di Khairiyah mungkin ada jawapan terhadap hal itu. Anak-anak ini berdiri dengan latar belakang hidup yang tidak sempurna. Ada yang miskin. Ada yang tidak mempunyai ibu dan bapa. Ada pula yang mempunyai ibu dan bapa, tetapi dibuang keluarga. Latar belakang anak-anak ini kebanyakannya kelam dan gelap.

Ibu bapa mereka tidak mampu menjaga anak-anak ini, ada kerana nakal, ada kerana tiada upaya untuk menyara. Cuma yang menghibakan, bukan tidak mampu, tetapi kerana tidak mahu kerana sudah tidak suka. Daripada sebab itulah mereka, anak anak di hantar ke sini. Minta dijaga dan dipelihara. Tanggungjawab diserahkan kepada pihak lain. Ada yang kerana ingin lepas tangan, ada juga yang kerana terpaksa.

Melihat keadaan semua ini, buat aku terfikirkan sesuatu. Anak-anak ini bukanlah milik sesiapa. Bukan milik ibu yang melahirkan dia, bukan juga milik bapa yang menyumbang benih dalam kelahirannya. Hanya kehidupan dan dunia sahaja yang memilikinya.

Kerana lahirnya dalam pelbagai keadaan, membuat aku tertanya. Mana mungkin seorang anak yang dibuang ibu, anak itu menjadi milik ibunya. Mana mungkin bapa yang selalu memukul anaknya, anak itu menjadi milik bapanya.
Mana mungkin. Mana mungkin mereka yang bergelar 'ibu bapa' bersikap seperti ini.

Tidak. Ini tidak mungkin. Bagiku,

Anak-anak adalah anugerah Tuhan kepada dunia. Dia datang melalui ibu bapa, tetapi ia milik dunia. Maksud sebagai milik dunia adalah, anak-anak adalah milik masyarakat. Anak-anak adalah sebuah citra harapan bagi masa hadapan. Harapan dalam menggapai perubahan dunia ke arah kehidupan yang lebih baik. Ya. Anak-anak menggalas amanah perubahan dunia. Anak-anak adalah mimpi masyarakat yang perlu direalisasikan.

Ibu bapa bagi anak-anak ini adalah kita semua. Setiap individu masyarakat dunia merupakan ibu bapa kepada anak-anak dunia. Yakni kita, menggalas peranan sebagai ibu bapa yang mendidik, mengurus, mengajar, membimbing, menunjuk, membentuk dan membina peribadi anak-anak menjadi seseorang yang bermanfaat kepada seluruh umat manusia. Menjadi pencetus bagi kebangkitan sebuah ummah.

Justeru kita perlu menjadi masyarakat yang baik bagi menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak dunia. Tetapi menjadi masyarakat yang baik tidak cukup sekadar gerakan dan organisasi, tidak cukup sekadar kata-kata semangat dan pembelaan, tidak cukup juga sekadar kritikan yang pedas terhadap penindasan. Menjadi masyarakat yang baik adalah dengan menyumbangkan kebersamaan, tenaga dan masa kepada anak-anak ini. Bukankah begitu hal yang ibu bapa sering lakukan kepada anak-anak mereka?

Seruan kepada ibu bapa dirumah, jangan sibukkan dengan pekerjaan anda hingga anak-anak anda terabai. Seorang anak yatim yang lebih menyedihkan bukan kerana dia tiada ayah, tetapi kerana ayahnya tidak menghiraukannya. Seruan buat masyarakat semua, luangkan masa bersama kanak-kanak, ambillah pengalaman menangani mereka sebelum anda menjadi ibu bapa dalam rumahtangga. Buat masyarakat yang prihatin, lawatlah rumah anak-anak yatim, jadilah ibu bapa, abang dan kakak mereka. Anak-anak ini sangat perlukan kasih sayang anda semua.

Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Mereka adalah Khalifah untuk masa hadapan dunia.

Aku berdoa, moga Allah tidak larikan aku daripada menjalankan tanggungjawab ini.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"