Pengikut

Halaman

Khamis, 17 April 2014

Berterus terang

Soalan itu masih berputar dalam kepala. Terngiang-ngiang. Sebenarnya kedua-dua itu tiada perbezaan ketara. Pendekatan berterus terang dalam suatu perkara merupakan suatu sifat kejujuran. Begitulah yang pernah aku fikirkan dahulu. Entah bagaimana boleh pula aku terlupa, sedangkan aku berpegang pada prinsip ini dan beberapa kali sudah melakukannya. Bahkan dengan cara provokasi.

Mengais-ngais kembali memori lama, cuba mencari kembali ingatan tentang pengalaman tersebut. Barangkali sudah banyak tertanggal daripada dinding kenangan, tetapi aku tidak akan mungkin melupakan perasaan itu. Biarpun tertanggal, tetap meninggalkan bekas.

Ketika itu, pabila kami tidak berpuas hati terhadap seseorang, kami akan cakap perihalnya dibelakang pengetahuan dia. Bukan berniat memburukkan nama, tetapi hanya ingin meluahkan rasa. Tiada benci. Tetapi hal ini tetap merupakan sebuah sikap ketidakjujuran dalam persahabatan. Mengata dibelakang, dihadapan bermuka manis. Hipokrit semua. Tetapi apakan daya, ketika itu akal pendek ini merasa hanya dengan menyembunyikan rasa tidak puas hati inilah persahabatan mampu dipelihara kerana kami tidak mahu menyakitkan hati sesiapa, hakikatnya tidak. Sikap sembunyi itulah yang menyakitkan hati.

Sebenarnya, dalam gerak kerja kami dalam mentarbiyah adik-adik dan warga sekolah, ketua kami selalu berpesan, andai ada salah silap antara kita dalam bekerja bersama dalam keluarga dan ukhwah ini, harap dapatlah terus ditegur secara berhadapan dan berani. Tiada sembunyi-sembunyi. Tetapi meskipun berulang kali hal itu dipesan, tiada antara kami yang betul-betul melakukannya. Kami takut. Tetapi ketakutan itu yang meretakkan hubungan sesama kami. Andai sahaja kami mempunyai sedikit keberanian ketika itu untuk berterus terang, mungkin pengalaman pahit itu tidak akan terjadi.

Kami rasa, kalau kami berterus terang, orang itu akan sakit hati. Sebenarnya dengan banyak bersembunyi, itu lebih menyakitkan hati. 

Keadaan ketika itu begitu keliru. Dihadapan sesama, kami bergurau senda dan bergelak ketawa. Namun dalam sela-sela waktu yang mendung, yang itu akan berjumpa yang ini, menyatakan rasa tidak puas hati terhadap yang di sana. Kata-kata kecil yang semakin banyak itu sudah tidak dapat dibendung, makin bertimbun dan timbul dipermukaan. Ternyata dalam keluarga ini kami sebenarnya tidak dapat bekerjasama dengan baik. Zahirnya kami biasa dan normal, namun dalaman dan batin daripada setiap kami rata-rata bergolak. Sehingga ada daripada kalangan kami sangat terasa lalu berkata, “Ada sahabat yang tikam belakang aku.” Aku pun sampai tertanya-tanya dengan bimbang dalam diri, “Akukah yang menikam?”

Satu kejadian dalam satu malam mengubah banyak perkara. Dua bulan kami tidak bertegur sapa. Aku tidak tahu salah aku apa tetapi aku tahu aku banyak salah terhadap dia. Pabila terserempak dia mengalih pandangan,  pabila kami solat bersebelahan tidak bersalaman. Dia cuba mengelak diri daripada aku. Bukan tidak pernah kami tidak bertegur sapa. Banyak kali terjadi ketidakfahaman antara kami sebelum itu lagi, tetapi selalunya dalam 2 atau 3 hari kami akan berbaik semula. Cuma kali ini tidak lagi, dia benar-benar serius. Dua bulan bukan sekejap.

Daripada situ aku dapat tahu betapa pentingnya sikap terus terang dan kejujuran. Untuk mendapatkan semangat bekerjasama bukan mudah. Untuk bersikap jujur dalam persahabatan pun bukan mudah. Sebab itu aku tertarik dalam kata-kata bahawa kesejatian persahabatan hanya dapat diketahui apabila ia teruji. Persahabatan yang selalu berada dalam lingkungan selesa dan tenang sentiasa kurang bermakna. Biarkan persahabatan diuji, barukan kita tahu betapa tinggi rendah nilainya.

Hidup ini kita sentiasa belajar. Proses belajar itu memang perit. Penuh gelojak perasaan yang bercampur baur. Marah, sedih, gembira dan pelbagai. Tetapi perkara yang penting adalah, kita ingin belajar dalam kondisi yang bagaimana? Dengan berasa pembelajaran ini sebagai sebuah beban hingga kita rasa tertekan, atau cuba berasa pembelajaran ini sebagai sebuah kurniaan Tuhan hingga kita berasa seronok untuk sentiasa mendapatkannya. Kita yang pilih.


Peace no war! Wallahualam

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"