Pengikut

Halaman

Isnin, 24 Mac 2014

Solat di mana-mana

Maghrib semalam, aku dan rakan-rakan yang lain bersolat di Surau KLCC. Ramai sekali manusia di situ. Biarpun ruang solat itu dikira luas juga, namun himpunan manusia ini menjadikan tempat itu sempit. Solat sedang berjalan, kami hanya mampu menunggu solat itu diselesaikan terlebih dahulu untuk membuat jemaah baru kerana tiada ruang lagi untuk kami menyertai. Terdetik dalam hati ini, betapa meriahnya surau ini diimarahkan oleh manusia yang masih mengingati Tuhan. Dalam keriuhan tarikan dan hiburan kota, mereka masih dapat menyisihkan diri seketika, menunaikan hak hamba pada Tuhan pencipta.

Cuma beberapa perkara buat aku tertanya, kita hari pada masa ingin bersolat mengapa perlu mencari tempat yang digelar surau dan masjid? Bukankah solat boleh dilakukan di mana-mana? Tidak semua setipa waktu kita akan menjumpai tempat tersebut, adapun nanti mungkin perlu menunggu giliran untuk menunaikannya sepertimana kejadian di atas akibat tidak dapat menampung jumlah jemaah yang hadir. Ini hanya pertanyaan kerana aku rasa kita rasa kita perlu memikirkan di mana adat dan di mana hukum. Pabila hukum sudah memudahkan, janganlah kita pula bersusah payah mengikut adat. Ini masalah.

Aku masih teringat ketika menghadiri suatu program, yakni program Dr Zakir Naik yang dijalankan di PWTC. Aku kira surau itu luas, tetapi pastinya orang yang menghadiri program ini sangat ramai. Ketika itu kami semua sedang mencari tempat untuk menunaikan solat Maghrib. Pabila ruang sudah tidak ada lagi untuk kami di dalam surau, yang solatnya sedang berjalan. Kami buat jemaah baru diluar. Ya. Kami buat dua jemaah dalam satu waktu yang serentak. Hal ini tidak salah. Bukan sahaja lapang, bahkan menjimatkan waktu menunggu ‘giliran solat’. Begitulah, solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja, malah boleh dilakukan dalam waktu yang serentak.

Teringat pula ketika aku sekolah menengah. Kami dalam perjalanan pulang ke sekolah malam itu. Petang itu kami keluar berlatih bermain bola keranjang dengan jurulatih Cina. Huh! Berlatih dengan jurulatih Cina membuatkan aku nak pitam. Habis tenaga semua. Kepala berpusing-pusing. Latihan itu habis pukul 7malam. Setengah jam lagi masuk waktu Maghrib. Dalam perjalanan itu, kami singgah di Petronas, hendak menunaikan solat Maghrib. Malangnya surau Petronas sangat sempit. Cukup untuk Imam dan makmum 2 orang. Sedangkan kami lelaki ada 10 orang. Hendak menunggu solat di dalam selesai, takut kami kelewatan. Jadi kami ambil keputusan ambil sejadah bentang di luar. Kami buat jemaah kedua. Maksudnya ada dua jemaah dalam satu waktu dan satu tempat. Orang luar yang melihat kami solat di tepian Petronas itu semacam pelik sahaja.

Kami lakukan itu memang semata-mata memang takut kelewatan. Tanah yang tempat kami solat itu tanah tar. Sakit dahi bila sujud. Tetapi tiada siapa sangka, rupanya guru penasihat kelab  Bola Keranjang yang bawa kami petang itu melaporkan hal ‘sekecil itu’ kepada Penolong Kanan HEM. Dan beberapa hari kemudian, di dalam masjid sekolah selepas selesai solat Isya’ berjemaah, kelab kami dipuji depan semua pelajar oleh HEM. Beliau mengatakan, ‘Ya, ini menunjukkan solat boleh dilakukan di mana-mana.’

Tidakkah kita perlu mengubah hal ini? Solat sahaja di tempat terbuka, yang bukan tempat orang lalu lalang. Tidak perlu terdesak sangat mencari tempat yang bergelar surau dan masjid andai waktu solat ketika itu sudah mahu tamat. Kerana tidak dibiasakan, maka pabila dilakukan sekali sekala, maka masyarakat melihatnya pelik. Begitu juga dengan hal, ‘Perempuan perlu pakai telekung ketika solat’. Sebenarnya begitu banyak benda masyarakat hari ini lakukan bukan kerana kefahaman yang menyeluruh, tetapi ikutan dan adat, hingga agama dilihat suatu yang sukar. 

Wallahualam. 

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"