Pengikut

Halaman

Isnin, 31 Disember 2012

Isu Amanat Haji Hadi dan buku ‘Kafirkah Aku?’


-----------------------------------------------------

------------------------------------------------------
Sebelum diri membuat sebarang spekulasi dan pendapat, dengan perasaan ketidaksempurnaan dan kekurangan ingin mengakui bahawa saya bukan seorang yang layak dan ahli dalam memberi ulasan sehubungan maudhu’ di atas. Tidak berniat menyokong mahupun membantah, lebih kepada ingin mengajak menilai dan menyelami disebalik suasana kerancakan isu ini sebagai rakyat marhaen. Ternyata sedikit sebanyak perubahan pola bicara rakyat telah beralih kepada isu ini. Terdapat banyak buah perkataan yang berbaur sindiran, kritikan, ada yang bersikap defensif. Dan pastinya pihak kerajaan akan mengekspoitasi situasi ini secara optimum bagi memburuk-burukkan Haji Hadi(PAS) di setiap ruang media massa.

                Segala-galanya bermula dengan penerbitan buku sebanyak 86 halaman muka ini, ‘Kafirkah Aku?’ oleh C.N Al-Afghani. Saya sedang membacanya. Secara peribadi, saya tidak merasakan buku ini bersikap ofensif tetapi lebih kepada luahan hati dan perasaan selama dirinya berada duduk bersama menerajui perjuangan Islam dalam PAS. Setiap insan mempunyai keinginan untuk bersuara, berpendapat dan beremosi kerana itu adalah hak asasi yang tidak boleh disekat. Justeru dihalaman pertama sekali C.N Al-Afghani awal-awal memohon maaf terlebih dahulu sekiranya terdapat kesalahan dalam tulisannya dan harap akan diperbetulkan, bahkan beliau telah meramalkan bahawa dengan terbitnya buku ini, dirinya akan dilabel sebagai tali barut kerajaan, telah dirasuah dan lain-lain. Adapun ahli PAS akan mengatakan dia melawan ulama’. Tetapi sebenarnya beliau menekankan bahawa usaha ini semata-mata adalah usaha mencari kebenaran. Maka bagi saya ia perlu dihormati.

MUAT TURUN PERCUMA

                Ketika amanat ini disampaikan 30 tahun yang lalu, ternyata ia telah memberi kesan yang besar terhadap pemikiran ahli-ahli PAS. Saya tidak mampu menghuraikannya kerna itu bukan zaman saya. Cuma apa yang cuba diluahkan oleh C.N Al-Afghani adalah memilukan dan menyedihkan. Setiap butir perkataan yang ternukil melalui buku beliau tertonjol rasa kekesalan dan keinsafan. Dengan semangat darah muda yang mengalir dalam badan serta rasa semarak api perjuangan atas kecintaannya terhadap Islam, mata beliau telah buta dalam menilai. Cinta itu memang buta, biarpun cintakan agama. Baca di bawah ini luahannya dalam buku Kafirkah Aku? bab ‘Warkah buat Datuk Seri Hj Hadi’.

“Saya bukan hendak mendedahkan apa yang telah dilakukan sekadar bahan bacaan biasa sahaja, tetapi untuk menjelaskan keadaan sebenar kesan dari ‘Amanat Hj Hadi’, juga tarbiah yang kami terima dari PAS. Dengan amanat dan ceramah keras dari Datuk Seri membuatkan saya derhaka kepada ibubapa,menyebabkan saya putuskan hubungan keluarga dengan saudara kandung, menyebabkan saya hingga merancang untuk membunuh PM dan pimpinan UMNO. Demikianlah dahsyatnya akibat dari amanat Datuk Seri itu. Amanat itu telah mendatangkan malapetaka yang besar terhadap umat Islam di Negara ini. Perpecahan yang tidak dapat dicantum lagi.”

                Sejujurnya berbekalkan darah muda yang saya miliki juga kesilapan ini seperti ini pernah saya lakukan, perasaan kekesalan ini juga saya rasakan dahulu sampai sekarang. Kerana politik saya pernah bersikap kurang ajar dengan ibu saya sendiri. Saya ditarbiah disekolah yang beraspirasikan perjuangan Islam, terdapatlah sedikit isu politik yang memasuki ruang sembang. Namun ibu bapa saya BN. Dalam usaha kononnya ingin ‘selamatkan’ ibu bapa, saya melakukan kesilapan yang menitiskan air mata ibu saya. Tidakkah itu memilukan? Pasti. Dan saya bersyukur Allah menyedarkan saya awal lagi dalam usia yang begitu muda. Mungkin Amanat Hj Hadi ada benarnya, tetapi percayalah untuk mengharapkan rakyat awam dan biasa seperti kami untuk memahaminya dengan benar adalah jauh sekali.


                Kesan Amanat Hj Hadi juga dapat dilihat dengan peristiwa Memali dan Ibrahim Libya. Dikatakan mereka yang terbunuh dalam peristiwa itu telah mati syahid walhal tidak! Jenazah mereka wajib dimandikan kerana mereka bukan syahid! Mereka menentang orang Islam bukan orang kafir! . Seperti ini jugalah kaum muda di Mesir salah faham terhadap pemikiran Syed Qutb melalui buku Ma’allim Fit Tariq hingga tertubuhnya gerakan radikal, cenderung untuk melakukan jihad melalui senjata.
Mengkafirkan saudara sendiri kerna salah faham terhadap konsep ‘Hukum Allah’. Sebenarnya banyak lagi kesan daripada amanat ini, anda boleh cari.

Dari dahulu lagi saya berpendapat dengan menekankan bahawa setiap butir bicara kita haruslah selaras dengan tahap pemikiran masyarakat, selaras dengan norma masyarakat. Kita tidak boleh salahkan masyarakat dengan mengatakan, “Seharusnya masyarakat kita mengkaji dahulu sebelum mengeluarkan pendapat”, itu sesuatu yang mustahil  kerana setiap individu mempunyai own will. Maka kesalahan sebenarnya akan jatuh kepada kita kerana salah bentuk didikan dan tarbiyah.

Jangan mengeluarkan masyarakat daripada proses pembodohan daripada kerajaan dengan memasukkan mereka ke dalam proses pembodohan daripada kita pula. Ibarat mengeluarkan daripada penjara kotor dan buruk kepada penjara yang lebih cantik.

                Minta maaflah, ini hanya pendapat dan pandangan yang dicampuri luahan hati dan perasaan. Sama macam C.N Al-Afghani, suatu usaha untuk mencari kebenaran. Ada salah dan silap harap diperbetulkan dan dikritik. Apa-apa pun kepada kerajaan, saya tetap ingin mengatakan tindakan media massa yang dikuasai kerajaan dengan memburuk-burukkan Haji Hadi dan PAS adalah suatu tindakan orang yang pengecut! Sekiranya mereka mengamalkan demokrasi dan betul-betul ingin menyelamatkan Akidah seharusnya dibuka ruang seluas-luasnya untuk Hj Hadi untuk bersuara dan memberi penjelasan berkenaan isu ini. Rakyat perlu diberi ruang untuk berfikir tanpa sekatan dan pengaruh sebelah pihak sahaja.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"