Love is...by ~Bunnis
Takdir Allah bukan untuk di duga, tetapi dicipta.
Bukankah Hilal Asyraf ada berkata, “Takdir itu hujung usaha!” Memang ada
benarnya. Biarpun kita tidak boleh melawan takdir, bukan bermaksud takdir tidak
boleh diubah. Yang dilihat bukan existence
tetapi essence. Pasrah dan redha akan
sesuatu harus diolah dengan baik yakni dengan ikhlas bukan terpaksa.
Bertunjangkan nilai Islam, “Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya” kita dapat mencungkil hikmah dan kebaikan di
sebalik sesuatu peristiwa. Bergantung di mana kefahaman kita untuk meletakkan
kasih-Nya terhadap hamba.
Seharusnya
kita tahu, medium fikir mempunyai ruang yang terhad dalam menggapai sesuatu
maksud dan erti segala rahsia yang melingkari kehidupan manusia. Walaupun kini
keagungan ilmiah dan intelektual manusia dikatakan menjadi asas pembinaan
tamadun yang kita gapai sekarang. Namun kita dapat lihat terdapat banyak
manusia yang meluahkan rasa kekosongan hati dan kehausan rohani dalam kejayaan
yang mereka kecapi. Dengan ini terbukti kemewahan dan kekayaan tidak memberi apa-apa
manfaat apa-apa pun. Selama ini minda dan persepsi kita telah diprogram dengan
baik di mana kita beranggapan kebahagiaan itu adalah dengan harta benda, kasih
sayang sesama manusia, pangkat, populariti dan pelbagai lagi. Hakikatnya tidak.
Kebahagiaan
mahupun kesedihan wujud atas faktor dalaman bukan luaran. Iaitu dipengaruhi
dengan bagaimana cara kita berfikir dan mengolah bentuk kebahagiaan yang kita
inginkan. Lihat orang miskin, kebahagiaan bagi mereka adalah kekayaan. Buat
mereka yang tinggal dalam keadaan sepi mengharapkan teman dan sahabat untuk
rasa bahagia. Setiap golongan manusia mempunyai definisi kebahagiaan dan kesedihan
yang berbeza-beza. Dan ketahuilah dalam Islam mempunyai satu definisi kebahagiaan
yang terjamin keberadaannya setiap waktu, tempat dan ketika. Definisi ini
dilandasi dengan elemen keislaman yang jitu dan universal. Ajaran daripada
sunnah, para sahabat dan tabiin. Tidak mampu diteroka oleh akal, tetapi hanya
mampu dikuasai oleh hati. Itulah kebahagiaan dicintai Allah dan RasulNya.
Mengapa
dicintai bukan mencintai? Saya tanya anda, tatkala Allah membenci kita adakah
kita mampu untuk beribadah kepada Allah? Tidak! Kerana segala amal dan ibadah
yang kita lakukan kepada Dia adalah atas rahmat, kurnia dan cintaNya terhadap
diri kita bukan atas kudrat kita sendiri. Ada satu riwayat kisah yang
menyatakan sedemikian. Yakni ada seorang tabiin terbangun pada waktu malam
dan melihat hambanya khusyuk beribadah dan bermunajat kepada Allah. Beliau
terdengar hambanya berkata, “Ya Allah,
demi cintaMu padaku…” lalu beliau menegurnya, “Seharusnya engkau mengatakan demi cintaku kepadaMu…” Tetapi hamba
itu menjawab kembali, “Jika Allah tidak
mencintaiku, mengapa dia membangunkanku untuk beribadah kepadaNya dan
membiarkan kau tidur”. Wah!
Apabila
seseorang hamba dicintai Allah maka dia akan diberi kefahaman agama oleh Allah.
Maka itu sudah cukup bagi mereka untuk mendepani kegilaan dunia ini yang sering
menduga dan menguji keteguhan iman. Dalam hidup mereka susah senang tidak
menjadi isu, tetapi redha Allah. Di situ lah kebahagiaan akan tercipta. Takdir
yang menimpa akan diolah dengan seni jiwa kehambaan. Yang tampak indah akan
diawasi agar tidak hanyut dan leka. Yang tampak berbentuk musibah dihiasi
dengan kesabaran. Kesabaran itu suatu kurniaan yang paling besar untuk orang
mukmin. Satu hadis qudsi berbunyi, “Timpakanlah
kepada hambaKu musibah kerana aku ingin mendengar mereka merintih kepadaKu”
Wajarlah
bila kita berkata, “Kebahagiaan itu bukan
dicari tetapi diraih!” Sesungguhnya
terdapat seribu satu kebahagiaan lagi di sisi kita yang kita tidak sedar.
Mereka tersembunyi dalam sudut hikmah dan ibrah. Hanya dapat disingkap oleh
tingkah laku manusia Ulul Albab dan orang-orang
mukmin. Dalam Al-Quran ada banyak ayat yang menyebut, “Bahawa orang-orang beriman itu tidaklah berasa takut dan bersedih
hati.” Kerana mereka insan yang
mengenal Allah dan seluruh sifat Ar-Rahman dan Ar-RahimNya. Sentiasa bersangka
baik dengan Allah dan tidak menduga-duga takdirNya dengan suatu kesan dan hasil
yang buruk.
Tidak kita sedar Islam itu indah. Seharusnya kita masuki
Islam secara menyeluruh bukan secara berjuzu’. Maka dengan itu kita akan mampu
keluar daripada tipu daya nafsu dan syaitan. Bebas daripada segala harapan
palsu dan berjaya menuju hakikat hidup yang menempatkan kebahagiaan sejati.
Yakni redha ilahi. Kerana itu sekarang kita harus mengorak usaha untuk mencipta
takdir masuk ke SyurgaNya. Bersungguh-sungguhlah kita dan jangan lupa untuk
bertawakal kepadaNya. Wallahualam. :)
1 ulasan:
Best gak baca catatan ni, terkonag zaman dulu-dulu...
Catat Ulasan