Pengikut

Halaman

Rabu, 22 Ogos 2012

Ibarah Ramadhan dan Syawal


Dosa menimbun tinggi, pahala gugur di pinggiran sepi. Lantaran kita leka dengan godaan duniawi, Allah dilupakan, seruan nafsu disambut dan dirai. Ketibaan Syawal seharusnya kita rayakan kemenangan fitrah nurani, sebaliknya lebih ramai yang menjunjung kemenangan nafsu menguasai diri. Di mana kemuliaan? Apakah makna keriangan? Rasa hati terus dilayan, kelalaian dan kelapaan dengan urusan dunia terus dihirup tanpa timbul kesedaran muhasabah, tanpa wujud untuk mengingati suasana tarbiyah Ramadhan yang sudah pergi meninggalkan diri. Inikah pengertian Aidilfitri buat masyarakat Muslim kita di sini?

                Hilang sudah denyutan nadi amal dan ibadah yang memberi nafas kehambaan ketika diri dididik oleh Madrasah Ramadhan. Tiada kerinduan yang mengusik hati akan bulan mulia yang berlalu itu. Kita seolah-olah terus lupa dan hilang arah. Keluar sahaja daripada pintu Ramadhan, kita terus berubah. Bukan menjadi produk baru yang diproses dengan tarbiyah, tetapi kembali menjadi insan lama seperti tidak pernah jejak kaki ke dalam bulan Barakah. Mungkin kita sememangnya golongan hipokrit yang hanya mengadu nasib kepada Allah mengikut musim. Doa dan munajat yang diangkat cukup sebagai retorik semata, lalu meneruskan ‘iltizam’ dengan perhambaan diri kepada hawa nafsu. Inilah salah satu peribadi manusia yang dungu.

                Kondisi yang berlaku ini mungkin kerana dahulu kita tersilap percaturan. Aliran nafsu yang patut dibendung dan dibimbing ketika berpuasa hanya diempang. Apabila dilepaskan buat sekian lama ditahan dan terkumpul, ia menghasilkan satu arus yang deras hingga berjaya memukul kuat jiwa dan iman. Jadilah kita seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Terdapat segolongan manusia yang berpuasa namun tidak dapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga” Begitulah segala hikmah yang disi dan dihadam bagaikan termuntah kembali. Dalam Ramadhan, lidah kita di basah zikir dan tadarus, malam dihiasi dengan tarawikh 20 rakaat, mulut dijaga daripada lontaran kata-kata keji, telinga ditutup daripada mendengar kata-kata umpatan. Kala Syawal semuanya luput dan basi.

                Kita hamba siapa? Ramadhan atau Allah?

                Tidakkah kita tahu, sunnah nabi menyarankan kita berkata, “Takabballahu minna wa minkum” yakni “moga Allah menerima amalan saya dan amalan kamu” ketika berjumpa saudara-mara di hari Syawal. Inilah ucapan harapan agar amalan Ramadhan kita diterima dan diberkati. Namun kita jarang berfikir dan berasa risau tentangnya. Hal itu sekelip mata dilupa. Rata-rata sebenarnya kita jahil akan makna dan erti Syawal yang sebenar, di mana ia sangat berkait rapat dengan Ramadhan. Suasana dan perubahan zaman sedikit sebanyak telah menghakis tradisi kebudayaan Islam menjemput Syawal yang datang dan melayan Ramadhan yang pergi.

                Dimanakah malu kita? Remaja ada yang menyambut Syawal dengan berfoya-foya. Keluar dengan pasangan kekasih untuk beraya bersama-sama. Tidak kurang juga golongan yang keluar beraya dengan warna-warni tabarruj. Pakaian seindah bidadari, bukan dengan penampilan kesederhanaan Islam, tetapi dengan perhiasan yang merendahkan harga diri. Media massa pula meraikan Syawal dengan hidangan rancangan-rancangan televisyen yang merosakkan dan melalaikan. Nyanyian, tarian dan filem yang banyak artis-artis seksi. Kita terus melayan dan membiarkan. Inikah kegembiraan dan keriangan yang cuba dirai?   

                Astaghfirullah. Dengan Syawal sahaja, kita dapat lihat sudah hilangnya kemuliaan Islam. Masyarakat sudah keliru dengan Islam sejati. Islam hari ini adalah Islam yang telah dikotori dan dicemari dengan kebudayaan jahiliyah dan falsafah barat hingga lahirlah ‘Islam Moden’ yang indah diwajah tetapi buruk isinya. Makna Islam perlu ditajdid kembali. Persepsi hodoh ini wajib diterbalikkan kembali. Perhatikanlah! Dunia kini telah songsang. Yang halal menjadi haram dan yang haram menjadi halal. Buruk dikatakan baik, yang baik pula dikatakan buruk.  Bukankah Ramadhan dan Syawal sudah banyak memberi kita pengajaran betapa lemahnya kita umat Islam sekarang. Allah sedang menegur kita tetapi kita tidak garap dengan baik teguran itu. Jadi apa harus kita lakukan?

Jadikanlah pengajaran Ramadhan dan Syawal tahun ini sebagai cetusan dan mekanisme perubahan untuk melonjak lebih tinggi dalam mengislahkan diri, sahabat dan masyarakat. Banyakkan berdoa untuk mengikat diri dengan Allah taala. InsyaAllah! :) 

Tiada ulasan:

"Sesungguhnya Allah telah menciptakan seratus kasih sayang(rahmat) pada hari penciptaan. Lalu Dia menahan di sisiNya sembilan puluh sembilan kasih sayang dan Dia menebarkan satu kasih sayang kepada seluruh makhlukNya di alam semesta ini. Dan memberi 99 lagi di Akhirat bagi yang berhak!"